Khamis, 27 Julai 2017

1MDB: Wujud satu lagi surat sokongan?



1MDB


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didesak memberi penjelasan mengenai satu lagi surat sokongan yang didakwa ditandatangani bagi pihak 1MDB.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, surat sokongan itu adalah bagi membolehkan 1MDB mendapatkan pinjaman sebanyak AS$975 juta daripada konsortium bank yang dipimpin oleh Deutsche Bank pada 2014.

"Pada Mac 2016, dalam jawapan kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman, Kementerian Kewangan sahkan hanya ada dua surat sokongan dikeluarkan kerajaan sehingga 2015 yang berjumlah AS$3 juta dan AS$150 juta.

"Tetapi melalui saman dikeluarkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat,  kita dapat tahu ada satu lagi surat sokongan telah dikeluarkan pada September 2014 untuk bantu 1MDB dapat pinjaman sebanyak AS$975 juta. Surat sokongan ini seolah-olah rahsia yang tiada orang tahu," katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut beliau, kewujudan surat sokongan itu perlu disahkan kerana ia memberi impak besar kepada kewangan kerajaan.

"Walaupun hanya surat sokongan, ia sangat penting kerana kandungannya membawa maksud jika 1MDB gagal membayar pinjaman tersebut, maka kerajaan Malaysia akan memastikan supaya ada sokongan kewangan diberikan kepada 1MDB untuk selesaikan semua pinjaman yang ditanggung," katanya.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, beliau kesal kerana soalan mengenai surat sokongan itu telah ditolak di Dewan Rakyat dengan alasan ia berdasarkan sangkaan.

"Soalan saya berdasarkan fakta dan kerajaan hanya perlu jawab 'ya' atau 'tidak'. Jika tidak dijawab, ia hanya akan menambahkan keraguan rakyat," katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada surat itu mendapat kelulusan Kabinet atau tidak.

"Saya bimbang jika soalan saya ditolak kerana surat ini tidak mendapat kelulusan jemaah menteri. Saya akan tanya kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada surat ini pernah dibangkitkan dalam Kabinet atau tidak.

"Jika benar ia dikeluarkan tanpa kelulusan Kabinet, saya minta Peguam Negara mulakan siasat terhadap Najib dalam kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penipuan," katanya.

Tiada ulasan: