Ahad, 5 Februari 2017

Tak patut guna media nak ingatkan PPBM, kata Mahfuz kepada Amanah

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegur Amanah yang secara terbuka meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendedahkan hasil pertemuan bersama PAS pada Rabu lalu. 
 
Menyifatkan tindakan tersebut tidak wajar, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata Amanah tidak sepatutnya menggunakan media untuk mengutarakan kemahuan mereka kepada PPBM.
 
"Tidak perlulah Amanah pergi minta secara terbuka. Patut telefon (buat panggilan) sajalah dan minta kepada Bersatu (PPBM) apa yang mereka mahu.
 
"Saya anggap ia tindakan tidak wajar," katanya dipetik Sinar Harian Online.
 
Malah tegur Mahfuz, Amanah tidak perlu mengingatkan PPBM untuk melapor hasil pertemuan itu kerana ia sudah menjadi tanggungjawab parti itu untuk berkongsi hal tersebut dengan Pakatan Harapan (PH).
 
"Oleh kerana PPBM sudah ada kerjasama dengan Pakatan Harapan, sudah tentulah mereka akan menyampaikan maklumat kepada rakan pakatan. 
 
"Parti yang ada tidak perlulah meminta atau mengingatkan PPBM secara terbuka untuk berkongsi laporan penuh pertemuan dengan PAS," katanya lagi.
 
Terdahulu Rabu lalu, mesyuarat antara dua parti itu berlangsung secara rahsia yang mana PPBM diwakil Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, manakala PAS turut diwakili Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.
 
Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui.
 
 

Tiada ulasan: