Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Pemerhati politik membayangkan agihan kerusi antara Pakatan
Harapan (PH) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) demi
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak akan berjalan lancar
dengan ketiadaan PAS.
Menurut Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali, malah akan timbul kerumitan
sekiranya PAS ingin menyertai agihan kerusi sesama pakatan pembangkang
selepas perbincangan yang akan dibuat esok.
"Kalau dah agihkan kerusi (PH-PPBM) dan PAS sertai selepas tu, jadi
akan timbul masalah. Kalau dah diagih begitu rupa dan dimeterai
perjanjian macam tu dan masuk lagi parti baru mungkin mereka bermasalah
sebab macam mana nak agihkan semula?
"(Perjanjian) Sebelum ni mungkin dah janji PH berapa (kerusi) dan
Bersatu (PPBM) berapa, kemudian masuk sebuah parti lain jadi sudah
tentulah ada di kalangan ahli parti itu samada bersetuju atau tak.
Tetapi mereka kena setujulah, jadi ini merumitkan lagi," katanya kepada
Antarapos.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu bahawa
PH dan PPBM akan membincangkan soal pengagihan kerusi di antara
gabungan itu esok.
Perbincangan agihan kerusi itu tidak menyebut tentang PAS, sekaligus berkemungkinan parti itu tidak akan turut serta.
Untuk rekod, PH dan PPBM menandatangani perjanjian kerjasama politik
pada 13 Disember lepas, yang bertujuan meletakkan satu calon mewakili
gandingan itu pada pilihan raya akan datang.
Pada awal Februari lalu, PPBM mengadakan pertemuan dengan PAS bagi
membincangkan rundingan ke arah menghadapi pilihan raya, namun sehingga
kini tiada kata putus bersabit perkara tersebut.
Tambah Fuad lagi, langkah agihan kerusi ini mungkin diambil pakatan
pembangkang kerana mengambil kira tempoh pilihan raya yang semakin
hampir.
"Saya rasa perbincangan ini dibuat kerana masa pilihan raya tu bakal
menjelma jadi sudah tentu mereka nak memastikan sekurang-kurangnya empat
parti ini duduk bersama dan menggagihkan kerusi mereka," katanya.
Mengulas mengenai kerjasama PPBM dengan PAS, Fuad berkata dengan adanya
perbincangan agihan kerusi PH-PPBM ini ia mungkin menjejaskan rundingan
PAS-PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan