Ahad, 26 Februari 2017

Muktamar Pas 2017: Abdul Hadi, Tuan Ibrahim tidak dicabar?

Manzaidi Mohd Amin
Abdul Hadi, Tuan Ibrahim gandingan mantap Pas selepas golongan profesional tersingkir

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dijangka menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan Kali ke-64 yang dijadualkan berlangsung 28 April hingga 1 Mei ini.

Begitu juga tiga jawatan ketua bagi Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak Pas tidak akan dicabar, sekali gus mengekalkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Siti Zalilah Mohd Yusof dan Datuk Dr. Mahfodz Mohamad untuk terus menerajui sayap parti.

Jika berlaku pertandingan sekalipun, ia hanya melibatkan perebutan jawatan timbalan dan Ahli Jawatankuasa di peringkat pusat serta timbalan dan naib bagi sayap parti.

Menurut sumber, terlalu awal untuk mana-mana pemimpin dalam organisasi Pas selepas bersih dari golongan profesional pada pemilihan Jun 2015 menawarkan diri bertanding merebut jawatan presiden, timbalan dan ketua Dewan.

Katanya, seluruh organisasi Pas bersepakat untuk mengekalkan Abdul Hadi, Tuan Ibrahim, Nik Mohamad Abduh, Siti Zalilah dan Dr. Mahfodz menerajui parti, di samping memberi peluang kepada mereka memulihkan parti ke arah yang lebih baik.

Ini selaras dengan pendirian Pas untuk mengamalkan budaya politik matang dan sederhana yang ditekankan Abdul Hadi dalam Ucapan Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali ke-62 di Kota Bharu, tahun lepas.

Abdul Hadi yang mengetuai kumpulan ulama pada pemilihan 2015 beroleh kemenangan besar dengan menewaskan kumpulan pencabarnya dari golongan profesional atau pro liberal.

Pada pemilihan itu, Abdul Hadi dicabar bekas Naib Presidennya, Ahmad Awang dan kemenangan berpihak kepada Ahli Parlimen Marang itu dengan majoriti 695 undi. Abdul Hadi mendapat 928 undi, manakala pencabarnya hanya 233 undi.

Tuan Ibrahim dari kumpulan ulamak juga menang besar dengan menewaskan pencabarnya, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dengan majoriti 602 undi. Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang mendapat 881 undi, manakala Mohamad atau Mat Sabu memperoleh 279 undi.

Keputusan tercorot diperolehi Ahmad dan Mat Sabu, termasuk rakannya yang bertanding jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Husam Musa, Salahudin Ayub serta Datuk Mahfuz Omar, membuktikan perwakilan Pas menolak secara total kumpulan profesional yang berada dalam parti itu selama ini.

Jawatan Naib Presiden Pas bagi penggal 2015 hingga 2017 yang dicabar Husam, Sallehudin dan Mahfuz dimenangi Idris Ahmad yang mendapat 896 undi, Datuk Iskandar Abdul Samad (672 undi) dan Datuk Mohd Amar Abdullah (710 undi).

Bagaimanapun, hanya Mahfuz yang masih kekal dalam Pas, manakala Mazlan Aliman iaitu satu-satu calon dari kumpulan profesional yang menang jawatan AJK telah meletakkan jawatan itu pada 15 Jun 2015.

Namun, dalam kenyataan terbaharu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan semalam, dilaporkan berkata, selepas penghijrahan besar-besaran pemimpin yang tewas pada pemilihan lalu (2015), muktamar kali ini pastinya akan lebih menarik sama ada kumpulan ulama mampu mengekalkan penguasaannya atau sebaliknya.

Katanya, muktamar kali ini dijadualkan berlangsung di Kompleks Pas, Alor Setar, Kedah dan dijangka dihadiri kira-kira 1,200 perwakilan.

Muktamar akan dirasmikan Abdul Hadi pada sebelah petang 29 April dan turut menjangkakan keputusan kepimpinan baharu Pas Pusat beserta tiga sayap parti diketahui selewatnya 1 April ini.

Untuk info, Muktamar Dewan Ulama diadakan pada 28 April di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop; Muktamar Dewan Pemuda berlangsung 27 hingga 28 April di Kompleks Pas Kedah dan Muktamar Dewan Muslimat juga 27 hingga 28 April di Pusat Pengajian Darul Hadis, Kampung Tok Keling, Alor Setar. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: