Isnin, 27 Februari 2017

Lebih 15 saksi dipanggil kes rasuah hartanah

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih dalam proses menggeledah beberapa pejabat pemaju bagi mendapatkan dokumen berhubung siasatan rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor. 
 
SPRM dalam satu kenyataan di sini, hari ini memaklumkan bagaimanapun tiada sebarang tangkapan baharu dibuat setakat hari ini berhubung siasatan itu. 
 
Menurut sumber yang dipetik BH Online, lebih 15 saksi sudah diambil keterangan berhubung siasatan kes itu dan lebih ramai lagi dijangka dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat. 
 
SPRM juga masih dalam proses meneliti semua dokumen yang dirampas dalam beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak 24 Februari lalu. 
 
"Kita dalam proses mendapatkan maklumat dan bukti yang dapat membantu siasatan," menurut sumber itu. 
 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung siasatan kes berkenaan dan meminta semua pihak untuk memberikan masa kepada SPRM untuk menyelesaikan siasatan. 
 
Jumaat lalu, SPRM menahan enam individu kerana dipercayai terbabit dalam skandal rasuah dan penyelewengan membabitkan hartanah di Johor. 
 
Suspek yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira jam 8.30 pagi. 
 
Menurut sumber SPRM, semua suspek yang ditahan itu dipercayai terbabit dalam penipuan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera sejak tahun 2013.
 
 

Tiada ulasan: