Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Golongan bijak pandai, terutamanya yang pakar dalam agama
Islam tidak perlu menjadi 'pengacau' untuk mengelirukan masyarakat
tentang pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) (RUU 355).
Mantan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Dr Anuar Ahmad
berkata sikap suka tunjuk pandai yang ditunjukkan golongan berkenaan
'menyakitkan hati' pihak yang berusaha memartabatkan syariah Islam.
"Pertamanya mereka merasakan mereka terlalu pandai dan orang lain tak
pandai. Ia sikap yang sangat buruk, menyamai sifat syaitan. Sebab
syaitan dikeluarkan dari syurga sebab merasakan mereka hebat dan tidak
mahu mengikut perintah Allah.
"Keduanya mereka rasa 'inferior', yang mereka rasa sepatutnya mereka
yang bawa RUU355 tetapi mengapa PAS? 'Inferior' inilah menjadi kompleks.
"Mereka menampakkan isu ini kompleks. Jadi saya menyeru kumpulan
sebegini jangan rasa terlalu 'superior' mahu pun 'inferior', ikut
sahaja. InsyaAllah kita selamat dunia dan akhirat. Jangan jadi
pengacau," katanya yang menjadi salah seorang panel di Bicara Harakah
Himpunan 355: Syariah Diperkasa, Rakyat Sejahtera di myHarakah Bazaar,
petang tadi.
Anuar berkata demikian mengulas tanggapan mengapa usaha PAS untuk
meminda RUU355 terlalu kompleks hingga menimbulkan penentangan dan salah
faham daripada pelbagai pihak.
Reaksi itu juga merujuk kepada Himpunan Bantah RUU355 pada Sabtu lalu
yang dianjurkan aktivis sosial, mahasiswa dan aktivis politik, pada hari
yang sama PAS menganjurkan Himpunan RUU355 di Padang Merbok.
Himpunan bantahan itu disertai Datuk Zaid Ibrahim, Timbalan Ketua
Pemuda Gerakan Andy Yong, peguam dan aktivis politik Haris Ibrahim dan
peguam kontroversi, Siti Kasim.
Di akhir himpunan tersebut, sejumlah rotan kecil diagihkan kepada
peserta yang kemudian mematahkan rotan tersebut sebagai tanda simbolik
penentangan terhadap RUU Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bicara Harakah tersebut turut disertai Pengarah Operasi Pusat
Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki dan Pengurus Komunikasi dan Jaringan
Strategik Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Mahmud
Hishamuddin Abdul Rashid.
Mengulas cadangan PAS yang dibawa Hadi di sidang Dewan Rakyat Mei lalu,
Mahmud menjelaskan tidak langsung timbul pindaan RUU355 itu bercanggah
dengan perlembagaan.
"Saya fikirkan tiada asas (penentangan). Ambil contoh, mereka kata Akta
355 sebagai 'unconstitutional'. Jika ia begitu, takkanlah undang-undang
ini boleh berjalan lebih 50 tahun. Akta 355 diperkenalkan pada 1965.
"Cuba bayangkan, lebih 50 tahun kemudian dakwa ia 'unconstitutional'?
Negara kita ini negara koboi? Itu sahaja dah boleh menolak isu
'unconstitutional' dan sistem 'duality'," tegasnya.
RUU persendirian itu dibawa Hadi di Parlimen pada 24 November lalu
bertujuan memperkasa Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman
jenayah.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman penjara sehingga 30 tahun,
denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan, berbanding hukuman semasa
yang mengehadkan 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan
yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Akta ini kali terakhir dipinda pada 1984.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan