SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegur Amanah
yang secara terbuka meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
mendedahkan hasil pertemuan bersama PAS pada Rabu lalu.
Menyifatkan tindakan tersebut tidak wajar, Ahli Parlimen Pokok Sena itu
juga berkata Amanah tidak sepatutnya menggunakan media untuk
mengutarakan kemahuan mereka kepada PPBM.
"Tidak perlulah Amanah pergi minta secara terbuka. Patut telefon (buat
panggilan) sajalah dan minta kepada Bersatu (PPBM) apa yang mereka mahu.
"Saya anggap ia tindakan tidak wajar," katanya dipetik Sinar Harian Online.
Malah tegur Mahfuz, Amanah tidak perlu mengingatkan PPBM untuk melapor
hasil pertemuan itu kerana ia sudah menjadi tanggungjawab parti itu
untuk berkongsi hal tersebut dengan Pakatan Harapan (PH).
"Oleh kerana PPBM sudah ada kerjasama dengan Pakatan Harapan, sudah
tentulah mereka akan menyampaikan maklumat kepada rakan pakatan.
"Parti yang ada tidak perlulah meminta atau mengingatkan PPBM secara
terbuka untuk berkongsi laporan penuh pertemuan dengan PAS," katanya
lagi.
Terdahulu Rabu lalu, mesyuarat antara dua parti itu berlangsung secara
rahsia yang mana PPBM diwakil Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir, manakala PAS turut diwakili Timbalan Presiden, Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man.
Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh
kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada
satu tarikh terdekat.
Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa
teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang
dipersetujui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.