ANTARAPOS.COM
SEPANG: Pihak berkuasa keselamatan nuklear dan radiasi diminta untuk
memeriksa kesan agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur 2 (KLIA2), lokasi di mana Kim Jong-nam dibunuh.
Bagaimanapun, orang ramai diberi jaminan bahawa lapangan terbang itu adalah selamat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mendedahkan bahawa
agen saraf VX adalah bahan yang digunakan untuk membunuh Jong-nam, abang
tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un pada 13 Februari
lalu.
Ia diklasifikasikan sebagai senjata kimia di bawah Konvensyen Senjata Kimia, di mana ia diharamkan pada 1993.
Khalid berkata kesan agen saraf VX mungkin masih ada di kawasan dua
suspek wanita yang telah ditahan, mencalit muka Jong-nam dengan bahan
kimia tersebut atau di beberapa lokasi lain.
"Kita bimbang tentang perkara ini tetapi saya bukan pakar, jadi kita
akan mendapatkan pakar-pakar untuk buat pemeriksaan," katanya, merujuk
kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.
"Kita akan meminta mereka memeriksa kawasan-kawasan yang mungkin mempunyai kesan bahan kimia itu," katanya kepada pemberita.
Khalid juga menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk orang ramai menjauhi KLIA2 atau kawalan dibuat di kawasan tersebut.
"Biar kita periksa terlebih dahulu," katanya.
Khalid berkata polis sedang menyiasat bagaimana bahan kimia ini dibawa masuk ke negara ini.
"Tetapi jika jumlah sangat kecil, ia sukar untuk dikesan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan