Setiausaha kedua, kedutaan Korea Utara yang dikehendaki berkaitan dengan siasatan pembunuhan Kim Jong-nam memiliki imuniti politik daripada ditahan oleh polis tempatan.
Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Malaysia akan mengikut protokol undang-undang antarabangsa bagi menyoal lelaki itu.
"Dia ada imuniti jadi sebab itu saya kata kita perlu ikut protokol," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina, Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Perkara 29 Konvensyen Vienna, seorang ejen diplomat yang diiktiraf tidak boleh dikenakan sebarang bentuk penangkapan atau penahanan.
Khalid berkata polis Malaysia juga telah mengemukakan surat permohonan rasmi untuk menemubual diplomat itu, bersama dengan seorang lagi warga Korea Utara yang dikenal pasti sebagai kakitangan Air Koryo.
“Pekerja syarikat penerbangan itu tidak memiliki sebarang kekebalan diplomatik dan (kita) boleh menahannya pada bila-bila masa dan akan mengeluarkan waran tangkap sekiranya dia gagal menyerah diri," katanya.
"Jika kamu tidak cuba sembunyikan sesuatu, usahlah takut," katanya ketika ditanya kemungkinan bahawa Korea Utara tidak akan memberi bekerjasama dalam siasatan itu.
Khalid berkata, pihaknya yakin maklumat daripada kedua-dua suspek amat penting dalam menyelesaikan kes berkenaan.
Channel News Asia pagi ini memetik seorang pegawai kanan polis sebagai berkata diplomat Korea Utara itu dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) menghantar empat suspek yang melarikan diri pulang ke Pyongyang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan