PAS Terengganu menyatakan keyakinan mereka untuk memerinta negeri itu pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan sambutan program diadakan di Besut semalam dan hari ini.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah, berkata program Himpunan Harapan Semua PAS Ganti Umno (HARAP-PGU 3.5) selama dua hari itu melambangkan harapan parti itu mencetuskan kebangkitan dan memberi kesedaran kepada pengundi.
Berucap di majlis perasmian HARAP-PGU 3.5 itu Mohd Nor yang juga ADUN Bukit Payong berkata, PAS mahukan pengundi khususnya di Besut agar bersedia membuat perubahan pada pilihan raya akan datang.
"Saya harap insya-Allah HARAP 3.5 kali ini cukup memberi dua mesej, (pertama) kita bersedia untuk memerintah negeri Terengganu (dan kedua) kita mohon agar pengundi Besut bersedia untuk buat perubahan agar parlimen dan seluruh DUN yang ada di Besut ini dapat dikuasai dalam pilihan raya yang ke-14," katanya seperti dipetik Harakahdaily.
Parlimen Besut mempunyai empat kawasan DUN membabitkan Jertih, Hulu Besut, Kuala Besut dan Kota Putera.
Sedia catat kejayaan
Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, kerusi parlimen itu dimenangi Datuk Seri Idris Jusoh yang mengalahkan calon PAS, Riduan Mohd Nor dengan majoriti 8,342 undi.
Bagi kerusi DUN pula semua kerusi dimenangi calon BN.
Di Jertih, Muhammad Pehemi Yusof mengalahkan Wan Azhar Wan Ahmad dengan majoriti 930 undi; Kuala Besut, A Rahman Mokhtar mengatasi Napisah Ismail (2,434 undi); Hulu Besut, Nawi Mohamad
mengalahkan Shalahhudin Jaafar (1,570 undi) dan Kota Putera dikuasai BN melalui wakilnya, Mohd Mahdi Musa yang mengalahkan Adam Mat Said (PAS) dan Mohamed Abdul Ghani Ibrahim (PKR) dengan majoriti 1,412 undi.
Mohd Nor yang turut bertindak sebagai pengarah HARAP-PGU 3.5 berkata, beliau melihat sambutan daripada rakyat Besut kepada program berkenaan begitu menggalakkan.
Katanya, ia menunjukkan penduduk Besut sedang bersedia untuk mencatat kejayaan "5-0" pada pilihan raya akan datang.
"PAS menang lima (kerusi) dan Umno kosong dalam pilihan raya umum ke-14 nanti," katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan