ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan
kewujudan dua syarikat di negara ini yang didakwa mempunyai kaitan
dengan agensi risikan Korea Utara.
Bagaimanapun ujarnya, dua syarikat itu - International Global System
Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd, sedang dalam proses
dibatalkan pendaftarannya.
Dua syarikat itu, lapor media antarabangsa semalam, didakwa mempunyai
kaitan dengan Glocom – syarikat yang digerakkan oleh agen risikan Korea
Utara yang beralamat di Brickfields, Kuala Lumpur.
"Berdasarkan laporan media antarabangsa semalam, saya menafikan
syarikat itu kononnya dikawal ejen perisikan Korea Utara dengan nama
Glocom.
"Berdasarkan laman web glocom.com.my yang didaftar pada 2009, ia didaftar oleh syarikat International Global System Sdn Bhd.
"Mengikut laman web itu juga, International Golden Services Sdn Bhd
bertindak sebagai syarikat yang boleh dihubungi," katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, PDRM sentiasa memantau perkembangan dan mengambil
tindakan tegas untuk memastikan Malaysia tidak digunakan sebagai lokasi
melaksanakan aktiviti yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan
negara.
Agensi berita antarabangsa Reuters dalam laporannya semalam mendakwa,
Glocom adalah syarikat dikendalikan ejen perisikan Korea Utara yang
menjual peralatan radio tempur.
Katanya, Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi
tentera dan separa tentera di laman web miliknya di Malaysia,
glocom.com.my.
Reuters yang memetik laporan Majlis Keselamatan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, urus niaga syarikat itu melanggar
sekatan PBB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan