Sepasang suami isteri hari ini memfailkan saman terhadap Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kerajaan Malaysia susulan
penangkapan dan penahanan mereka dalam satu operasi khalwat bulan lepas,
walaupun mereka telah berkahwin secara sah hampir tiga tahun lalu.
Mohd Ridhuan Giman, 34, dan isterinya Siti Sarah Maulad Abdullah, 26,
serta ibu Ridhuan menamakan pegawai penguat kuasa Mohd Shiham Ramli,
Mohamad Izehar Md Amin, ketua pegawai penguatkuasa agama JAWI, ketua
pengarah JAWI, JAWI, Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia
sebagai defendan.
Saman sivil tersebut telah difailkan oleh tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tujuh pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang penguat kuasa wanita
menyerbu hotel tersebut pada jam 1:30 pagi pada 8 Januari lepas.
Ridhuan memaparkan gambar sijil nikah mereka kepada pegawai-pegawai
JAWI. Tetapi pegawai lelaki JAWI didakwa menyerbu masuk walaupun Siti
Sarah minta diberi peluang memakai pakaian, tetapi mereka terus
mengambil gambar dan video.
Mereka mendakwa ketika Ridhuan dibawa ke lobi hotel, Siti Sarah masih
berada dalam bilik bersama pegawai penguat kuasa Jawi lelaki.
Siti Sarah didakwa diminta memakai baju dengan kehadiran pegawai lelaki
tersebut. Mereka kemudian dibawa ke Jawi dan dikurung di bilik
berasingan.
Ibu Ridhuan kemudian datang membawa sijil pernikahan asal pada malam
yang sama untuk mendapatkan pelepasan mereka tetapi mereka enggan terima
sijil itu.
Mereka mendakwa penahanan mereka adalah tidak sah dan berlaku pelanggaran hak asasi mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan