Khamis, 23 Februari 2017

Cari punca kenapa setengah juta menganggur - Rafizi

MALAYSIAKINI


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberi tumpuan mengenai sebab utama mengapa kadar pengangguran meningkat, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau merujuk amaran Najib semalam supaya syarikat senaraian awam mengambil bahagian dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bagi membantu graduan berijazah yang menganggur.

"Sementara saya menyokong sebarang usaha untuk mengurangkan jumlah pengangguran di negara ini, adalah sangat penting untuk kita memberi tumpuan kepada sebab utama kenapa pengangguran berlaku," kata Rafizi dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Rafizi, statistik Jabatan Buruh menunjukkan jumlah rakyat Malaysia yang mengganggur sejak tiga tahun lalu meningkat daripada seramai 439,000 orang pada Mac 2013 kepada 510,700 orang pada November 2016.

Katanya, kadar pengangguran graduan semasa pentadbiran Najib juga adalah tertinggi berbanding perdana menteri terdahulu, berdasarkan statistik daripada sebuah institut pemikir dari Sweden.

"Ini bermakna, bagi tahun 2014 iaitu kali terakhir angka diterbitkan, dari setiap 10 orang penganggur, tiga orang mempunyai ijazah," katanya.

Semalam, Najib dilaporkan mahu syarikat senaraian awam mengambil bahagian dalam program SL1M dengan mengambil graduan menganggur untuk bekerja dengan mereka.

Perdana menteri berkata penyertaan syarikat tersebut dalam program itu akan dijadikan prasyarat yang akan menentukan kelayakan mendapat kontrak pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata perkara penting bagi Najib pada masa ini adalah membetulkan pentadbiran ekonomi agar lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji setimpal dengan kelulusan diwujudkan.

"Sebab itu, saya berpendapat cubaan Datuk Seri Najib mengugut syarikat-syarikat swasta untuk mengambil graduan yang menganggur melalui SL1M adalah melepaskan tanggungjawab sendiri.

"Ini kerana statistik pasaran kerja menunjukkan lebih ramai graduan dan rakyat Malaysia keseluruhannya menganggur di bawah pentadbiran beliau," katanya.

Tiada ulasan: