Jumaat, 24 Februari 2017

Tindakan kejam dan zalim rampas motosikal Dego

DEGO

OLEH Rajiv Rishyakaran

Saya mengecam ancaman Menteri Datuk Seri Liow Tiong Lai yang zalim untuk merampas motosikal pemilik pemandu-pemandu Dego, sekiranya mereka masih memberi perkhidmatan teksi motorsikal.

Mengambil langkah seperti ini adalah amat kejam kerana sebahagian besar daripada mereka berpendapatan rendah.

Rampasan motosikal bukan sahaja akan menjejaskan keupayaan mereka untuk menjana pendapatan melalui platform Dego, tetapi juga akan memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk mendapatkan pekerjaan di tempat lain.

Hal ini adalah kerana mereka memerlukan motosikal sebagai pengangkutan ke tempat kerja, selain itu peluang perkerjaan juga mewajibkan memiliki kenderaan sendiri.

Dalam keadaan kabinet yang masih belum memberi kata putus kesahihan Dego, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Nancy Shukri, Liow sepatutnya memberi tumpuan untuk meningkatkan keselamatan penunggang motosikal secara keseluruhan.

Bukankah ini lebih baik daripada memburu 6000 pemandu Dego yang tidak bersalah dan merampas motosikal mereka?

Jika kita menyemak kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Liow dan Kementeriannya sejak kebelakangan ini, kita akan mendapati tiada langsung sebarang pengumuman, kempen atau usaha untuk meningkatkan keselamatan penunggang motosikal, selain daripada dendam yang mendalam untuk memusnahkan Dego dan pemandu-pemandunya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri A Abdul Aziz Karpawi telah pun menyatakan di Parlimen bahawa anggaran 1.2 juta orang yang menunggang motosikal tanpa lesen. (1)

Dalam satu kenyataan saya sebelum ini, saya telah menekankan bahawa terdapat perkara-perkara lain yang lebih besar berkenaan keselamatan motosikal yang Liow mesti memberi perhatian dan tumpuan.

Sejumlah 35% daripada kemalangan motosikal yang membawa maut (2) adalah disebabkan penunggang yang tidak memakai topi keledar.

Daripada memburu pemandu-pemandu Dego, adalah lebih baik untuk JPJ menangani masalah penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar sekiranya Liow benar-benar jujur untuk mengurangkan kemalangan dan kematian.

Masalah pemandu motorsikal yang tidak memakai topi keledar bukan sahaja berlaku di luar bandar, ia malah tersebar luas di kawasan bandar.

Kenyataan kedua yang Menteri harus sedar ialah statistik daripada MIROS menunjukkan bahawa 66% daripada kemalangan motosikal (3) berlaku di kawasan luar bandar, walaupun pada hakikatnya majoriti rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar.

Sekali lagi, beliau tidak meletakkan usaha yang betul dalam matlamat murni untuk mengurangkan kemalangan penunggang motosikal dan kematian.

Fakta ketiga, juga diambil daripada MIROS adalah bahawa kurang daripada 20% daripada kecederaan kemalangan motorsikal (4) adalah pembonceng motosikal (penumpang), dengan lebih 80% daripada mangsa adalah penunggang itu sendiri.

Ini juga jelas menunjukkan bahawa penumpang Dego tidak lebih berisiko (sebenarnya lebih rendah) daripada purata kes kemalangan motorsikal.

Sudah sampai masanya beliau berhenti menjadi hipokrit. Beliau perlu mengambil berat tentang keselamatan penunggang motosikal dan mengambil tindakan untuk mengatasi faktor sebenar punca kemalangan motorsikal yang tinggi.

1. http://english.astroawani.com/malaysia-news/1-2-mln-motorcyclists-riding-without-licence-122098
2. http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0386111212000076
3. https://www.miros.gov.my/1/page.php?id=17 (Facesheet 2)
4. https://www.miros.gov.my/1/page.php?id=17 (Facesheet 1)

Rajiv Rishyakaran
Ahli Dewan Negeri Selangor

Tiada ulasan: