Selasa, 28 Februari 2017

PKR dakwa ketua audit negara ahli Umno

Berita Daily Staff

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima maklumat Madinah adalah ahli Umno di Cawangan Sri Helang, sejak 1989.

KUALA LUMPUR: PKR mendakwa Ketua Audit Negara yang baru dilantik, Dr Madinah Mohamad adalah ahli Umno Bahagian Kepong.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima maklumat Madinah adalah ahli Umno di Cawangan Sri Helang, dan menjadi ahli Umno sejak 1989.

“Minggu lalu, pelbagai pihak termasuk saya sendiri telah membangkitkan persoalan mengenai Madinah, khusus berkaitan kelayakan dan kehadiran beliau di dalam beberapa majlis anjuran Umno.

“Oleh sebab beliau masih belum menjawab isu-isu yang telah dibangkitkan ini terutama mengenai hubungan beliau dengan Umno, hari ini saya mengumumkan bahawa, berdasarkan maklumat yang telah saya terima, beliau merupakan seorang ahli Umno bahagian Kepong, cawangan Sri Helang. Saya turut difahamkan beliau telah menjadi seorang ahli UMNO sejak 1989,” kata Fahmi, dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menggesa agar Madinah untuk menafikan maklumat tersebut.

Tambah Fami, sekiranya benar, nasihat Perdana Menteri Najib Razak kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik beliau menggantikan AMbrin Buang merupakan nasihat yang tidak membantu mengukuhkan institusi demokrasi di Malaysia.

“Ini kerana jawatan Ketua Audit Negara merupakan antara jawatan terpenting dalam sistem demokrasi terutama proses semak dan imbangan pengurusan kerajaan,” kata Fahmi.

Beliau berkata, persepsi umum adalah seorang ketua audit negara bukan sahaja perlu bebas, neutral dan tidak terlibat dalam politik kepartian tetapi juga perlu dilihat sebagai bebas, neutral dan tidak terlibat dalam politik kepartian.

Tiada ulasan: