shahbudindotcom
Selain
difahami satu teguran telah ditujukan kepada Tun Mahathir Mohamad,
semalam juga sebenarnya dua pemimpin UMNO telah ditegur oleh dua
Sultan.
Seorang ditegur oleh Sultan Johor dan seorang lagi ditegur oleh Sultan Selangor.
Sultan
Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas cadangan seorang menteri
yang mahu membanyakkan Wilayah Persekutuan melalui pengambilan
tanah-tanah negeri.
Baginda menggelarkan menteri berkenaan sebagai kurang bijak kerana mungkin terlupa tentang kedaulatan sesebuah negeri itu.
"Malah
hasil kerajaan Persekutuan yang dikutip adalah dari semua rakyat
Malaysia dan harus diagihkan kepada semua, bukan untuk Wilayah
Persekutuan saja," titah baginda.
Walaupun
tidak menyebut nama, tetapi tidaklah sukar memahami bahawa menteri
kurang bijak yang dimaksudkan oleh Sultan Johor itu ialah Tengku Adnan
Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan yang baru-baru ini
mencadangkan untuk menjadikan Pulau Pinang dan Pulau Langkawi sebagai
tanah baru bagi perluasan jajahan Wilayah Persekutuan.
Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula menzahirkan rasa tidak
berkenaan dengan tindakan menyalahgunakan kenderaan jenazah untuk tujuan
demonstrasi.
Menerusi
kenyataan yang dikeluarkan melalui Setiausaha Sulit baginda, Mohamad
Munir Bani, Sultan Selangor bertitah, van jenazah adalah untuk urusan
jenazah sahaja.
“Baginda
tidak berkenan kenderaan jenazah tersebut disalahgunakan selain
daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat demonstrasi
atau kegunaan lain yang tidak kena mengena dengan urusan pengendalian
jenazah,” katanya kenyataan itu.
Meskipun
turut tidak disebut nama, namun tentulah semua orang memahami bahawa
titah Sultan Selangor itu ditujukan kepada Jamal Md. Yunos yang sebelum
ini menyewa 15 van jenazah untuk mengadakan demonstrasi politik di
hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam.
Dalam dua teguran oleh dua Sultan itu, di mana suara Salleh Said Keruak, menteri pengampu nombor satu?
Mengapa
beliau hanya menyasarkan kepada kata-kata Sultan Johor terhadap Tun
Mahathir saja, tetapi tidak kepada bidasan Sultan Johor kepada Tengku
Adnan dan luahan tidak berkenan Sultan Johor terhadap Jamal Md. Yunos?
Bukankah
sebagai pemimpin UMNO dan kerajaan, Salleh lebih afdal mengingatkan
rakan-rakannya dalam UMNO dan kabinet terlebih dahulu jika ditegur oleh
mana-mana Sultan berbanding mahukan Tun Mahathir mendengar teguran
daripada Sultan Johor?
Kenapa
tidak dalam masa meminta Tun Mahathir mendengar teguran Sultan Johor,
Salleh bersikap adil dengan mengingatkan juga Tengku Adnan dan Jamal Md.
Yunos agar turut sama melebarkan telinga kerana kedua-duanya juga
ditegur sama oleh Sultan Johor dan Sultan Selangor?
Selain
itu, jika Salleh agak terlupa, mungkin kerana hanya berfikir untuk
mengampu saja sepanjang masa, beliau juga seharusnya menyedari mengenai
beberapa ucapan Sultan Perak sebelum ini berkaitan rasuah, penyelewengan
kuasa dan kehancuran bangsa akibat daripada berleluasanya gejala tidak
sihat tersebut dalam negara.
Kenapa
Salleh tidak pernah sekali pun memberi respon terhadap ingatan demi
ingatan itu, sambil mengingatkan semua pemimpin, termasuk Perdana
Menteri agar memberi perhatian dan mengendahkan apa yang diluahkan oleh
Sultan Perak itu?
Tidak
syak lagi bahawa Salleh, di sebalik keghairahan mengampunya, beliau
sudah wajib diberikan cermin besar untuk melihat diri dan sekelilingnya
terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata kepada orang
lain yang berada lebih jauh di luar lingkungannya.
Lihatlah gajah yang ada di depan mata dahulu sebelum mahu meneropong kuman di seberang sungai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan