Khamis, 23 Februari 2017

Kembalikan RM15 Kad Siswa 1 Malaysia

MALAYSIA DATELINE

Anis Afida Mohd AzliAnis Afida Mohd AzliWanita Muda Amanah Nasional menggesa kerajaan mempertimbangkan kembali pemberian bantuan buku kepada mahasiswa.

Ketuanya, Anis Afida Mohd Azli berkata, kewujudan Kad Siswa 1 Malaysia (KADS1M) sebagai penganti baucar buku yang selama ini diberikan dilihat seperti mengguntungkan sebelah pihak.

"Mewujudkan suatu perkara yang akhirnya terpaksa ditanggung pelajar di universiti adalah suatu perkara yang membebankan.

"Kembalikan semula pada keadaan yang lama agar RM15 yang hilang bagi setiap pelajar yang memohon bantuan itu tidak hilang begitu sahaja," tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kad debit yang dikeluarkan oleh Bank Rakyat dalan program KADS1M menimbulkan rasa tidak puas hati penuntut apabila yuran tahunan sebanyak RM5 dikenakan dan baki akaun sebanyak RM10 tidak boleh ditebus dengan kewujudan kad itu.

"Bagi pelajar, setiap ringgit terlalu berharga apatah lagi kehilangan wang sebanyak RM15 yang sepatutnya mereka miliki. Sebelum ini baucar buku yang disediakan sebanyak RM250 tidak menjadi masalah sama sekali dan mengapa perlu diubah kepada saluran melalui kad debit.

"Jika hendak dikatakan berlaku penjualan baucar pada sebelum ini, isunya juga turut sama berlaku kerana bila pelajar menggunakan kad debit itu yang dikeluarkan adalah mata wang. Jadi, sistem kad debit ini tidak mendatangkan sebarang penyelesaian," ujarnya.

Mengulas lanjut, Anis berkata, jumlah RM15 bagi penuntut daripada golongan memerlukan yang mendapat bantuan KADS1M adalah besar.

"RM15 mampu untuk membeli kelengkapan alat tulis serta beberapa buku nota bagi seorang pelajar," tambah Anis lagi.

Kerajaan mendebitkan bantuan Baucar Buku 1Malaysia ke dalam KADS1M kononnya bagi mengekang penyalahgunaan baucar buku bernilai RM250 dalam kalangan pelajar.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pelaksanaan program tersebut bakal memberi manfaat kepada 1.3 juta mahasiswa yang melanjutkan pelajaran secara sepenuh masa dan separa masa yang berstatus aktif pada 31 Disember 2016.

Tiada ulasan: