Jumaat, 24 Februari 2017

Jamal dan Umno Selangor wajib mohon ampun

JAMAL

OLEH MUHAMMAD SHAKIR AMEER

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan bahawa baginda tidak berkenaan dengan gimik politik Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Jamal Yunos yang menggunakan van jenazah di depan bangunan SUK Selangor, pada minggu lalu.

Cara Jamal Yunos memanipulasikan masjid masjid untuk meminjam van jenazah bagi tujuan gimik politik yang melampau mencemarkan kemuliaan institusi berkenaan.

Oleh yang demikian, Jamal patut meminta ampun daripada Tuanku Sultan kerana sikapnya itu juga menghina Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam Selangor.

Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar yang mempertahankan gimik melampau tersebut juga harus meminta ampun daripada Tuanku Sultan.

Amat memalukan bagi seorang Menteri Persekutuan mempertahankan sikap terlampau seorang ahli UMNO tanpa memikirkan implikasinya.

Oleh yang demikian, sebagai warga Selangor yang beragama Islam, Jamal dan Noh Omar harus meminta ampun daripada Tuanku Sultan dan juga meminta maaf kepada warga Islam di Selangor secara terbuka.

Kemurkaan Sultan ini juga pastinya mewakili keseluruhan rakyat negeri ini yang jengkel dengan politik murahan Jamal Yunos dan UMNO Selangor.

Negeri Selangor memerlukan pembangkang yang berkesan dan memahami peranannya sebagai kuasa semak dan imbang.

Jelas, UMNO bukan sahaja tidak relevan sebagai kerajaan di negeri Selangor malah juga tidak berkeupayaan sebagai pembangkang yang berkesan.

Patik sebagai rakyat Selangor juga mahu merakamkan sembah takzim dan terima kasih atas keprihatinan Tuanku untuk menegur perbuatan yang hanya merugikan rakyat negeri ini yang dilakukan oleh Jamal Yunos dan kuncu-kuncunya.

Semoga Jamal dan Noh Omar akan mentaati titah perintah Tuanku ini demi kesejahteraan masyarakat di Selangor.

Jika Jamal gagal membuktikan dirinya mampu menjadi pembangkang yang berkesan di Selangor, setidaknya Jamal harus berusaha untuk menjadi rakyat yang menghormati Sultannya.

*Muhammad Shakir Ameer adalah Ahli Majlis MBSA dan Bendahari Pemuda Sosialis DAP Selangor


Tiada ulasan: