Jumaat, 17 Februari 2017

Penjelasan 1MDB lebih penting berbanding ‘task force’ Forex

Shawaliah Hadir


Rakyat perlu dijelaskan tentang skandal 1MDB yang sepatutnya diberi perhatian oleh pihak kerajaan, bukan isu 30 tahun yang lalu, kata Teresa Kok

KUALA LUMPUR: Penubuhan pasukan petugas (Task Force) untuk menjalankan siasatan mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1990-an bercanggah dengan keperluan pada masa kini, kata Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Menurutnya, masalah terbesar yang sedang berlaku dalam negara ialah pengubahan wang haram yang membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun tidak diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

“Jadi kalau kabinet nak buka siasatan isu yang berlaku dalam tahun 80-an tapi apa yang berlaku sekarang ini tidak disentuh, bukankah ini satu ironi?” soalnya.

“Masalah yang paling dilihat oleh rakyat sekarang adalah 1MDB tetapi tidak disentuh langsung, di luar negara banyak dail dan dokumen kes ini dibuka tetapi di negara ini kita siasat perkara 30 tahun yang lepas tapi apa yang dihadapi sekarang tidak,” katanya kepada Berita Daily.

Terdahulu kabinet bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan bertindak bagi tujuan menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia yang didakwa berlaku pada sekitar tahun 90-an.

Menurut Perdana Menteri Najib Razak, pasukan itu bakal mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh barisan kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuklah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya perlu.

Sementara itu Teresa yakin bahawa rakyat akan terus mempertikaikan tindakan kerajaan yang seolah-olah menutup mata berkenaan isu 1MDB sedangkan negara luar menunjukkan kegigihan menyiasatnya.

Justeru Ahli Parlimen Seputeh itu membuat kesimpulan bahawa kerajaan sengaja mahu mengalihkan perhatian awam terhadap masalah yang sepatutnya diselesaikan terdahulu dengan membangkitkan isu puluhan tahun yang lalu.

“Bukan tidak perlu korek isu lama, tapi saya rasa isu yang kita hadapi sekarang lebih besar tetapi tidak disentuh tetapi negara lain sudah pun buka fail dan dakwa yang berkenaan banyak tindakan telah diambil kerana ini kes pengubahan wang haram (money laundering) yang terbesa di dunia.

“Semua ini mahu dielak dengan siasat perkara puluhan tahun, boleh siasat saya rasa rakyat pun perlu tahu,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata Penasihat DAP Lim Kit Siang sepatutnya menyuarakan sokongannya terhadap penubuhan pasukan petugas in selaras dengan kelantangan Ahli Parlimen Gelang Patah itu sebelum ini yang lantang menyuarakan kebimbangannya terhadap isu terbabit suatu masa lalu sebelum Pakatan Harapan mengadakan kerjasama politik dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir Mohamad.

Lim pada 8 Febuari yang lalu mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa RCI perlu ditubuhkan untuk menyiasat perdagangan mata wang asing oleh BNM termasuklah skandal Bumiputra Malaysia Finance Malaysia Ltd. (BMF) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Dr M.

Dr M turut menyokong penubuhan RCI namun meletakkan syarat agar suruhanjaya yang sama juga perlu ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

Tiada ulasan: