MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meletak jawatan sekiranya beliau bukan penjawat awam, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil.
Ini berikutan hujah peguam Najib di mahkamah semalam bahawa perdana menteri bukan penjawat awam atau sebahagian daripada perkhidmatan awam Malaysia.
"Sebagai perdana menteri, beliau adalah ketua kerajaan dan badan eksekutif yang mana pegawai dan kakitangan di bawahnya adalah penjawat awam.
"Gaji beliau juga dibayar daripada kantung kerajaan. Oleh demikian, adalah tidak munasabah untuk perdana menteri atau menteri ditafsirkan sebagai bukan penjawat awam kerana ia bertentangan dengan peruntukan dan semangat undang-undang dan perlembagaan," kata Faiz yang juga seorang peguam.
Terdahulu peguam utama perdana menteri, Tan Sri Cecil Abraham memohon membatalkan saman yang difailkan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad bersama dua yang lain ke atas Najib berkaitan 1MDB.
Cecil Abraham, memetik Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang anggota pentadbiran seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Akta Tafsiran adalah individu yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen atau setiausaha politik.
Ia katanya termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri yang dianggap anggota pentadbiran dan bukan penjawat awam.
Mengulas lanjut, Faiz berkata sebagai perdana menteri, Najib tidak seharusnya mengelak tanggungjawabnya terhadap skandal 1MDB dengan membuat penafian sebegitu.
"Apatah lagi rakyat adalah 'stakeholder' kepada skandal 1MDB akibat hutang yang berpuluh bilion ringgit.
"Jika Datuk Seri Najib Razak berterusan mengelak tanggungjawab atas alasan bukan penjawat awam, maka adalah lebih baik beliau meletakkan jawatan," katanya.
Najib bagaimanapun sebelum ini menafikan sebarang salah laku membabitkan dirinya dalam skandal 1MDB seperti didakwa pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan