Selangor tidak akan capai kejayaan kumpul risab setiap tahun jika urus tadbirnya pincang.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menafikan dakwaan kekayaan luar biasa pegawainya, Muhammad Hilman Idham mempunyai kaitan dengan isu rasuah yang berlaku dalam Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata, Selangor tidak akan mampu mencapai kejayaan setiap tahun sekiranya mempunyai pentadbiran yang menyeleweng wang.

“Mana-mana pihak nak menyiasat, itu hak mereka. Yang penting kerajaan negeri akan tetap mempertahan prinsip keterbukaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran kita.

“Tidak mungkin kerajaan Selangor dapat mencatatkan kejayaan yang begini baik sekiranya pentadbiran bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa.

“Namun saya tak boleh halang kalau ada pihak ingin mengemukakan laporan.. kita serahkan kepada badan penyiasat, janganlah kita ambil alih tugas mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran buku tulisannya yang bertajuk ‘Membangun Bangsa’.

Sebelum ini, ‘kekayaan luar biasa’ Hilman dibangkitkan oleh bekas Ketua AMK Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.

Chegubard mempersoalkan bagaimana Hilman hidup mewah walaupun hanya baru dua tahun menjadi pegawai khas kepada Azmin.

Malah Chegubard selain itu dilaporkan turut mendedahkan Hilman mempunyai beberapa buah kereta termasuk sebuah Audi, sebuah Alphard dan  Toyota Altis, selain turut mendedahkan maklumat pembelian hartanah berupa sebuah rumah l dua tingkat yang diinggarkan berharga RM850,000, di Seksyen 7, Shah Alam pada Julai 2015.

Ekoran itu Selasa yang lalu, gabungan NGO-NGO di Selangor tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat ‘kekayaan luar biasa’ Hilman itu.

Mengulas bersabit hal itu, menurut Azmin, pihak SPRM sendiri sudah mengesahkan bahawa tiada unsur rasuah dalam isu tersebut.

“Laporan ini saya dimaklumkan tuduhan yang sama, skrip yang sama, serangan yang sama… telah diserahkan kepada SPRM.

“SPRM telahpun menyiasat, kenyataan juga dibuat oleh SPRM, tidak ada sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa. Saya bukan hakim atau badan penyiasat, katanya.