Naib
Pengerusi Amanah Johor Dr Sulaiman Mohd Nor mendesak kerajaan segera
merumuskan dan menyelesaikan isu pembunuhan mangsa yang menggunakan nama
samaran 'Kim Chol' yang digunakan oleh Kim Jong-nam.
Beliau berkata Malaysia sebelum ini pernah dikejutkan dengan tragedi
berprofil tinggi seperti isu kehilangan pesawat MAS MH370 dan tragedi
MAS MH17 yang ditembak di ruang udara Ukraine.
"Dalam tragedi pembunuhan kita memerlukan rumusan agar tragedi ini dapat dielakkan di masa akan datang.
"Isu pembunuhan Kim Jong Nam juga perlu diselesai dan dirumus dengan
segera memandangkan isu ini membabitkan tahap keselamatan negara yang
sedang dicabar oleh kuasa-kuasa besar dari luar negara," ujarnya dalam
satu kenyataan.
Menurut beliau dengan pembunuhan Kim Chol ini Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan.
Justeru ujarnya lagi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi perlu mengambil tanggungjawab ini dengan menjelaskan perkara yang
sedang berlaku ketika ini.
"Sebagai rakyat, saya berpandangan perkara yang berlaku ini perlu
dilapor secara telus dan kerajaan perlu tegas serta segera mengeluarkan
kenyataan berpendirian berkenaan isu Kim Chol ini kerana ia membabitkan
jenayah antarabangsa yang boleh mengancam keselamatan negara," ujarnya.
Sebagai rekod Jong Nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) untuk menaiki penerbangan ke Macau
apabila secara tiba-tiba seorang wanita dikatakan menekup mukanya dengan
kain yang mengandungi cecair beracun yang membawa penahanan dua orang
wanita.
Jong Nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Pada 19 Februari pihak polis telah mengenalpasti imej tujuh lelaki
warga Korea Utara yang disyaki perancang utama kes pembunuhan abang tiri
pemimpin Korea Utara Kim Jong Un itu.
Bagaimanapun empat dari suspek berkenaan, Ri Ji Hyon, O Jong Gil,
Hong Song Hac dan Ri Jae Nam telah meninggalkan negara dengan laluan
udara ke sebuah negara jiran yang tidak dinyatakan dan pihak polis
sedang memburu tiga lagi suspek di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan