Sabtu, 11 Februari 2017

PPBM beri PAS sebulan buat keputusan kerjasama

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberi tempoh sebulan dari hari ini kepada pemimpin PAS untuk memutuskan sama ada mahu menyertai pakatan harapan ataupun tidak, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Beliau berkata, walaupun perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan PAS susulan pertemuan kedua-dua parti pada 1 Feb lepas, keputusan segera harus diperolehi bagi menentukan strategi seterusnya.
 
"Kalau PAS tak nak masuk (pakatan harapan) pun, terpulanglah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri wacana PPBM-DAP di sini, hari ini.
 
Dalam pada itu, Tun Mahathir turut menyatakan kekesalan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan bertemu dengan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang mengenai perkara itu.
 
Pada 1 Februari lalu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama-sama rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengadakan mesyuarat secara rahsia di ibu negara bagi merintis jalan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.
 
Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.
 
Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui.
 
Setakat ini pakatan pembangkang masih menunggu hasil positif kerjasama ini bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu diadakan dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang

Tiada ulasan: