STATUS sesetengah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menawarkan kursus Pengajian Islam, terutamanya kolej-kolej Islam swasta, yang masih belum mendapatkan akreditasi MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) dan pengiktirafan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) bagi program-program pengajian mereka.
Kegagalan mendapatkan kelulusan tersebut akan mengakibatkan kesukaran pelajar-pelajar lepasan diploma ini melanjutkan pengajian mereka ke peringkat ijazah di universiti tempatan dan berkhidmat di sektor awam.
Proses pengakreditasian ini juga berpotensi meningkatkan kualiti pengajian kolej Islam terbabit dan menjadikannya mampu berdaya saing dengan kolej-kolej swasta yang lain. Dengan memperoleh pengiktirafan ini maka akan berpeluang melanjutkan pengajian peringkat yang lebih tinggi serta peluang perkhidmatan dalam pelbagai sektor akan lebih terbuka.
Agensi yang berwewenang seperti KPT, JPA mahupun MQA sewajarnya memberi bantuan dan panduan untuk memudahcarakan proses pengiktirafan ini.
Tindakan seumpama ini bukan hanya akan menjamin kualiti pendidikan dan meredakan kebimbangan ibu bapa pelajar-pelajar di kolej Islam swasta ini, bahkan juga dapat melonjakkan perkembangan institusi pendidikan tinggi pengajian Islam yang sentiasa mendapat sambutan baik dari kalangan masyarakat Melayu ke tahap yang lebih tinggi dan berwibawa di dalam arus pendidikan perdana negara.
Kolej Islam swasta ini memang sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan daripada JPA dan MQA namun terdapat beberapa kekangan kepada usaha murni mereka ini.
Oleh yang demikian pihak berwajib, pengurusan tertinggi kolej dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpaksikan usaha pendidikan perlu berusaha membantu mereka bagi mendapatkan pengiktirafan ini.
DR MOHD NURI AL-AMIN ENDUT
Pengerusi
Pertubuhan Aspirasi Akademia Ummah Sejahtera (ARUS) Perak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan