Sabtu, 11 Februari 2017

PAS desak DAP henti campur tangan pemfatwaan

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Dewan Ulama PAS Pusat hari ini mendesak kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Lim Guan Eng supaya tidak mencampuri hal pemfatwaan negeri tersebut.
 
Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh ketuanya penerangannya hari ini, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan kerajaan negeri tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana satu penghinaan terhadap agama Islam.
 
Lebih-lebih lagi, campur tangan tersebut dibuat oleh organisasi yang diketuai oleh orang bukan Islam, tambahnya.
 
"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Campur tangan sebuah kerajaan khususnya yang diketuai oleh bukan Islam terhadap fatwa adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama bagi Persekutuan," katanya melalui satu kenyataan media.
 
Tambah Khairuddin, campur tangan DAP dalam hal ehwal agama Islam dalam pentadbiran negeri itu membuktikan negara dalam keadaan bahaya sekiranya DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan jika pembangkang menang kelak.
 
"Sekiranya dengan hanya memerintah negeri, DAP sudah terlalu berani mencampuri urusan agama Islam, alangkah bahaya sekiranya DAP menjadi sebahagian pemerintah negara (moga Allah jauhkan) sebagaimana impian Pakatan Harapan. 
 
"Malang sekali, sebahagian orang Islam terpesona dengan lakonan DAP berkaitan Islam,” tambahnya.
 
Terdahulu, kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Lim Guan Eng dilaporkan campur tangan dalam proses penfatwaan negeri tersebut.
 
Laporan berkenaan perkara itu sejurus satu surat rasmi yang dikeluarkan oleh Exco, Abdul Malek Abdul Kasim kepada Mufti Pulau Pinang Datuk Haji Hasan Ahmad yang tersebar di media sosial.
 
Bagaimanapun Guan Eng menolak dakwaan tersebut.
 
 

Tiada ulasan: