Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini
mengambil pendirian untuk memperhalusi deraf rangka kerjasama antara
kedua-dua parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan
datang.
Ketetapan itu diambil dalam satu mesyuarat tertutup yang berlangsung di satu lokasi 'rahsia' di Bangsar, Kuala Lumpur.
"Mesyuarat hari ini telah memperhalusi deraf rangka kerjasama
persefahaman politik PAS-PPBM dalam menghadapi PRU 14 dan beberapa
ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama
antara kedua-dua parti.
"Rangka kerjasama antara PAS dan PPBM akan diperhalusi oleh pimpinan
tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua
parti pada satu tarikh terdekat," demikian menurut kenyataan bersama
yang dikeluarkan sebentar tadi.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama antara Timbalan Presiden PAS
Datuk Tuan Ibrahim dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz
Mahathir.
Mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk membentuk sebuah Jawatankuasa
Teknikal Bersama PAS-PPBM untuk mengambil tindakan susulan atas
keputusan kedua-dua parti.
"Sehubungan itu, mesyuarat hari ini juga telah bersetuju untuk
membentuk sebuah Jawatankuasa Teknikal Bersama PAS-PPBM untuk mengambil
tindakan susulan atas keputusan-keputusan yang dipersetujui oleh
kedua-dua parti," menurut kenyataan berkenaan.
Kedua-dua parti pada awal hari ini mengadakan pertemuan secara tertutup pada jam 11 pagi tadi di satu lokasi di ibu kota.
Dalam pertemuan itu, difahamkan PAS diwakili timbalan presidennya Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Naib Presiden yang juga Ahli Parlimen
Bukit Gantang, Dr Idris Ahmad, manakala PPBM diwakili timbalan
presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang turut mempengerusikan
pertemuan berkenaan.
Media yang memetik sumber melaporkan tiada penglibatan Presiden
kedua-dua parti iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin
Yassin dalam pertemuan berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md Nor berkata
segala perkembangan berhubung rundingan berkenaan akan dibawa ke dalam
mesyuarat antara PH dengan PPBM kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan