PEKAN: Tan Sri Annuar Musa masih kekal sebagai Ketua Penerangan Umno, kata Datuk Seri Najib Razak.
Presiden Umno itu juga mahu semua pihak tidak membuat sebarang
spekulasi berhubung penggantungan Ahli Parlimen Ketereh itu sebagai
Pengerusi MARA.
"Beri peluang kepadanya (Annuar) untuk bersihkan diri daripada tuduhan terhadapnya.
"Beliau sanggup disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
dan biarlah proses siasatan yang sedang berjalan selesai.... tidak perlu
buat tanggapan dan pelbagai andaian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat
pemindahan banjir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Paloh
Hinai, dekat sini, sebentar tadi.
Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Annuar digantung tugas sebagai Pengerusi MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) berkuat kuasa serta merta pada semalam.
Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata keputusan itu bagi
memberi laluan kepada siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku dan
penyelewengan kuasa dikaitkan terhadap Annuar, berkaitan tajaan pasukan
bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi
berkenaan.
SPRM juga mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Annuar dalam MARA.
Badan anti-rasuah itu bagaimanapun memaklumkan siasatan hanya tertumpu
kepada rasuah dan salah guna kuasa Annuar yang dikaitkan dengan isu
penajaan pasukan bola sepak Kelantan (TRW).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan