Jumaat, 3 Februari 2017

Harga minyak: 20 sen rakyat vs 20 sen menteri

OLEH KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN




Setiap kali tiba hujung bulan, pasti rakyat ternanti berita pengumuman harga minyak bagi bulan berikutnya.
Adakala berita yang tular di media sosial itu palsu, namun ada masanya ia adalah benar khususnya yang berkaitan harga minyak. Semalam, berita yang tular kenaikan dijangka 15 sen. Ya, ia memang berita palsu kerana hakikat sebenarnya kenaikan sebanyak 20 sen.

Sekali pandang, syiling 20 sen itu seperti kecil sahaja nilainya. Tetapi, impak kenaikan 20 sen seliter minyak petrol RON 95 amat besar nilainya. Kesan kenaikan itu berantai ke seluruh aspek kos hidup harian rakyat. Makanan, barangan, pengangkutan, dan perkhidmatan sentiasa ikut sama naik atas alasan kenaikan 20 sen tersebut.

Adakah sekalian pak menteri merasai impak kenaikan 20 sen harga minyak? Bagaimana mungkin mereka mahu merasainya sedangkan segala kos perjalanan rasminya ditanggung oleh kerajaan? Setiap kilometer perjalanan pak menteri dibayar menggunakan wang rakyat. Bahkan, bayaran tol bagi kenderaan pak menteri juga ditanggung oleh kerajaan (baca: wang rakyat).

Slogan “rakyat didahulukan” yang dicanang oleh BN sememangnya tepat lagi benar kerana senantiasa rakyat didahulukan merasai bebanan kenaikan kos sara hidup sepertimana janji di awal pelaksanaan GST dahulu. Dulu, ketika harga minyak dunia mencecah USD100/setong,  kerajaan umumkan kenaikan harga minyak.

Sekarang, ketika harga minyak dunia merudum kepada USD55/setong, kerajaan tetap mengumumkan kenaikan harga minyak juga. Walaupun kerajaan mungkin beralasan bahawa kenaikan ini disebabkan oleh kelemahan mata wang ringgit Malaysia berbanding US Dollar, ianya tidak wajar dijadikan alasan untuk kenaikan harga minyak untuk kegunaan harian rakyat. Hakikatnya, mekanisme apungan harga minyak yang digunapakai sekarang hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu kerajaan manakala kehidupan rakyat pula yang terapung.

Justeru, kerajaan perlu kembalikan semula subsidi minyak agar rakyat tidak menjadi mangsa akibat impak berantai kenaikan harga minyak. Usahlah tunggu menjelang Pilihan Raya Umum, baru kerajaan mahu berlagak prihatin merasai denyut nadi rakyat. 20 sen ini amat bernilai harganya kerana ia juga mampu menjadi penentu pilihan di kertas undi kelak.

"Bertekad Melebar Muafakat"
"Inilah Penyelesaian Kita"

*  KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Tiada ulasan: