OLEH KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Setiap
kali tiba hujung bulan, pasti rakyat ternanti berita pengumuman harga
minyak bagi bulan berikutnya.
Adakala berita yang tular di media sosial
itu palsu, namun ada masanya ia adalah benar khususnya yang berkaitan
harga minyak. Semalam, berita yang tular kenaikan dijangka 15 sen. Ya,
ia memang berita palsu kerana hakikat sebenarnya kenaikan sebanyak 20
sen.
Sekali pandang, syiling 20 sen itu seperti kecil sahaja
nilainya. Tetapi, impak kenaikan 20 sen seliter minyak petrol RON 95
amat besar nilainya. Kesan kenaikan itu berantai ke seluruh aspek kos
hidup harian rakyat. Makanan, barangan, pengangkutan, dan perkhidmatan
sentiasa ikut sama naik atas alasan kenaikan 20 sen tersebut.
Adakah
sekalian pak menteri merasai impak kenaikan 20 sen harga minyak?
Bagaimana mungkin mereka mahu merasainya sedangkan segala kos
perjalanan rasminya ditanggung oleh kerajaan? Setiap kilometer
perjalanan pak menteri dibayar menggunakan wang rakyat. Bahkan, bayaran
tol bagi kenderaan pak menteri juga ditanggung oleh kerajaan (baca:
wang rakyat).
Slogan “rakyat didahulukan” yang dicanang oleh BN
sememangnya tepat lagi benar kerana senantiasa rakyat didahulukan
merasai bebanan kenaikan kos sara hidup sepertimana janji di awal
pelaksanaan GST dahulu. Dulu, ketika harga minyak dunia mencecah
USD100/setong, kerajaan umumkan kenaikan harga minyak.
Sekarang, ketika
harga minyak dunia merudum kepada USD55/setong, kerajaan tetap
mengumumkan kenaikan harga minyak juga. Walaupun kerajaan mungkin
beralasan bahawa kenaikan ini disebabkan oleh kelemahan mata wang
ringgit Malaysia berbanding US Dollar, ianya tidak wajar dijadikan
alasan untuk kenaikan harga minyak untuk kegunaan harian rakyat.
Hakikatnya, mekanisme apungan harga minyak yang digunapakai sekarang
hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu kerajaan manakala
kehidupan rakyat pula yang terapung.
Justeru, kerajaan perlu
kembalikan semula subsidi minyak agar rakyat tidak menjadi mangsa akibat
impak berantai kenaikan harga minyak. Usahlah tunggu menjelang Pilihan
Raya Umum, baru kerajaan mahu berlagak prihatin merasai denyut nadi
rakyat. 20 sen ini amat bernilai harganya kerana ia juga mampu menjadi
penentu pilihan di kertas undi kelak.
"Bertekad Melebar Muafakat"
"Inilah Penyelesaian Kita"
* KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.