Isnin, 13 Februari 2017

GrabCar tolak gaji kepada pemandu yang gagal ambil penumpang tiga kali

Berita Daily Staff


Syarikat pengendali perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi itu maklum ada pemandu yang masih tidak jelas tentang polisi dan sistem GrabCar, buka pintu perbincangan

KUALA LUMPUR: Pemandu GrabCar telah maklum lebih awal tentang polisi khususnya berkenaan penalti yang akan dikenakan melalui pemotongan gaji jika berlakunya pembatalan pesanan penumpang.

Mengesahkannya, Ketua Pegurus syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi itu, Sean Goh berkata penolakan hanya dilakukan pada kadar RM1 setelah tiga kali pemandu yang diberikan peluang namun masih gagal untuk melaksanakan.

“Rakan-rakan pemandu yang membatalkan atau mengabaikan tugasan pihak kami akan menghukum dengan mengenakan denda sebanyak RM1 bagi setiap tugasan namun mereka diberikan tiga peluang sehari sebelum sepakan penalti,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, pihak syarikat di samping memberi peluang kepada pemandu untuk menjayakan tugas turut memberikan insentif RM1.50 kepada peluang ketiga pesanan penumpang yang dimanfaatkan.

“Pemandu juga akan diberikan ganjaran tambahan sebanyak RM1.50 sekiranya mereka menyelesaikan tempahan seterusnya,” jelasnya.

Hari ini kira-kira 100 pemandu GrabCar tampil mengadakan sidang media bersama badan bukan kerajaan (NGO) Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kerana mendakwa GrabCar menolak pendapatan mereka dengan jumlah yang tidak munasabah.

GrabCar juga dalam masa sama disifatkan sebagai membuat penolakan gaji pemandu-pemandu tanpa memberikan penjelasan yang konkrit.

Sean sementara itu, tidak menyalahkan pemandu yang tidak jelas dengan sistem pengiraan penalti yang dikenakan terhadap mereka yang tidak menjalankan tugas seperti mana yang ditetapkan.

Beliau walaubagaimanapun mengalu-alukan pemandu GrabCar yang masih keliru tentang sistem penolakan gaji datang ke pejabat syarikat tersebut untuk mendapatkan penjelasan secara terperinci.

“Kami faham jika ada sesetengah pemandu yang tidak jelas dengan pengiraan itu, pintu kami sentiasa terbuka luas untuk para pemandu dan pihak yang berkaitan untuk sama-sama berbincang berkenaan isu ini.

“Kami bersedia untuk mendengar dan mengambil maklum terhadap respon yang diberikan terhadap kami,” tambah beliau.

Tiada ulasan: