Isnin, 13 Februari 2017

Dua permintaan buat Abang Johari

Berita Daily Staff

Pentadbiran Adenan meletakkan Inggeris lebih utama sebagai medium pentadbiran negeri sedang Malaysia sudah lama menerima medium satu bahasa kebangsaan itu

Subky Latif

TAHNIAH buat ke atas Ketua Menteri baru Sarawak, Abang Johari Abang Openg atas jawatan yang diamanahkan kepadanya bagi menggantikan Adenan Satem yang pulang ke Rahmatullah itu.

Syukurlah atas anugerah itu. Ia, yang pertamanya adalah amanah Allah. Selain daripada amanah rakyat Sarawak ia adalah amanah rakyat Malaysia.

Anda adalah pemimpin. Setiap pemimpin itu tidak lepas daripada tanya di alam sana nanti pimpinan itu pada setiap aspek.

Maka sebagai Ketua Menteri baru Abang Johari tentulah pertamanya menyambung dasar dan tindakan oleh pemegang jawatan sebelumnya. Wajarlah yang baik diteruskan dan baiki apa tidak padan dengan semangat Malaysia dan kesejahteraan rakyat khususnya di Sarawak.

Apapun Abang Johari ada tanggungjawab bagi memastikan Sarawak benar-benar beroh Malaysia, maka bolehlah beliau menyemak apa yang kurang tepat yang ditinggalkan oleh Adenan Satem.

Almarhum Adenan dikira Ketua Menteri yang disenangi bagi Sarawak, tidak salah beliau lebih bertuah daripada Perdana Menteri Najib Razak. Najib tidak dapat suka penuh daripada rakyat tetapi Adnan dapat hampir penuh suka rakyat kepadanya. Jika Ketua Menteri itu tidak bertukar, belum tentu Sarawak dapat dikekalkan di bawah BN.

Apapun ada dua peninggalan Almarhum yang KM Abang Johari perlu amati perlu diselarikan dengan roh dan jiwa patriotisme Malaysia yang kurang prihatin di bawah Adenan Satem.

Pertama medium pentadbiran yang telah disepakati oleh perlembagaan dan oleh rakyat adalah dalam bahasa rasmi bahasa kebangsaan. Telah dipelbagaikan pelaksanaan sepenuhnya 10 tahun selepas merdeka dan bagi negeri-negeri yang menyertai Malaysia pula 10 tahun selepas pembentukan Malaysia.

Ada takwil atas kelemahan Tunku Abdul Rahman dan Abdul Razak tidak tegas melaksanakannya dengan penciptaan akta bahasa. Keraguan mereka bukan suatu yang dapat dibanggakan dalam patriotisme kita.

Pentadbiran Adenan meletakkan Inggeris lebih utama sebagai medium pentadbiran negeri sedang Malaysia sudah lama menerima medium satu bahasa kebangsaan itu. Mungkin Tunku dan Abdul Razak kurang patriotik atas bahasa pentadbiran itu.

Tetapi Sarawak boleh berbangga dapat mengetengah putera yang komited dalam mendaulatkan bahasa rasmi itu. Ketika Abdul Rahman Yaakub menjadi Menteri Pelajaran sebelum pulang jadi Ketua Menteri Sarawak, dia telah menetapkan satu bahasa medium untuk semua sekolah.

Kerana dia dijadikan Ketua Menteri Sarawak, menteri pelajaran diberi kepada Hussein Onn, maka sampai sekarang sekolah satu bahasa tidak dapat dilaksanakan. Sekalian pelajar dan pendidik meratap apabila Rahman Yaakub meninggalkan kementerian pelajaran. Setiap patriot menangis tidak berlagu dengan pemergian Rahman itu.

Adenan Satem setelah sekian lama menjadi warga Malaysia mengingeriskan semula pentadbiran negeri. Abang Johari perlu semak peningalan Adenan.

Kedua, sebelum meninggal, Adenan memerintahkan MP BN dari Sarawak tidak boleh sokong RUU 355 yang PM Najib cenderung dengan pindaan itu. RUU 355 adalah perundangan Islam yang amat minima. Meremang tengkok orang Islam mendengar sikap Adenan.

RUU 355 itu mulanya dibentangkan Rahman Yaakub semasa jadi menteri pusat dulu. Putera Sarawak membentangnya dulu, tidak wajarlah MP Islam Sarawak menolaknya. Tiada keterangan Adenan membatalkan keputusannya sebelum meninggal.

Abang Johari diberi amanah sekarang. Anda akan ditanya di sana nanti cara mana amanah itu dilakanakan. Abang Johari jangan rosakkan tahniah atas amanah yang Allah beri itu.

Tiada ulasan: