Rabu, 1 Februari 2017

DAP memang anti Islam



 
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF


PADA 28 Januari, selepas majlis Hari Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri Pulau Pinang di SPICE, Pulau Pinang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, mengeluarkan kenyataan media bahawa beliau telah meminta peguamnya mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana menyebut bahawa DAP anti Islam.

Pelik kenapa baru sekarang Kit Siang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyifatkan DAP anti Islam sedangkan sebelum ini pelbagai pihak turut menyebut perkara sama. Dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan milik Kerajaan Selangor antara 13 hingga 15 November 2015 juga mendapati 64 peratus daripada 1,716 respondennya di Selangor bersetuju DAP anti Islam.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, juga berpendapat DAP anti Islam. Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno pada 10 Disember 2015, Najib menyebut DAP anti perjuangan Islam. Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno pada 1 Disember 2016, Najib menyatakan syiar Islam dan pengamalannya akan tentu diremeh-remehkan sekiranya DAP yang memerintah.

Perihal DAP anti Islam juga pernah disebut di dalam khutbah Aidil Adha yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang pada 24 September 2015 yang, di dalam konteks memperkatakan mengenai keperluan umat Islam bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik,  menyatakan “ada di kalangan umat Islam yang menyertai parti DAP yang terang-terang menentang Islam”.

Lanjutan khutbah tersebut, Pengerusi DAP Pahang waktu itu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, pun memberi kata dua kepada Jabatan Mufti Negeri Pahang untuk meminta maaf kepada DAP dalam tempoh lima hari, jika tidak DAP akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Bagaimanapun, selepas tempoh ini berakhir, hingga sekarang, tindakan undang-undang tidak diambil.

Tidak pelik jika ugutan Kit Siang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hadi ini juga akan tinggal sebagai ugutan semata-mata. Kit Siang pernah mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad pada 13 April 2013 dan terhadap seorang pemimpin kanan sebuah parti lain pada 1 Januari 2016, tetapi ternyata ia ugutan kosong semata-mata.

Seperti disebut oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, sewaktu mempertahankan kandungan khutbah Aidil Adha yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang, bahawa dalam beberapa isu membabitkan Islam seperti hudud DAP menentangnya, bermakna DAP menolak hukum Islam. Siapa yang tidak ingat kenyataan Karpal Singh pada 1990, “hudud against my dead body”?

Sikap DAP terhadap Islam tergambar dalam Perlembagaan DAP yang menyebut bahawa matlamat DAP adalah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal”. Walhal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, telah mengisytiharkan di Dewan Rakyat pada 16 Jun 2014 bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Lebih jauh lagi, seperti disebut oleh Najib dalam Perhimpunan Agung Umno 2016, Perlembagaan DAP langsung tidak mengandungi sebarang pengiktirafan ke atas peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia yang menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Apa yang ada di dalam Perlembagaan DAP hanyalah “mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi”.

Sebab itulah jika dilihat kepada rekod DAP selama ini, perjuangan para pemimpinnya lebih tertumpu kepada kebebasan beragama bagi penganut bukan Islam, sedangkan, hakikatnya, seperti sering disebut oleh pakar perundangan Islam negara, Almarhum Prof Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim, penganut Islam juga perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan cara hidup mereka mengikut ajaran Islam.

Sikap DAP terhadap Islam juga tergambar dalam kenyataan Sheikh Omar Ali, Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, pada 8 September 2015 berbunyi: “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya”. Pegangan DAP yang membataskan urusan beragama kepada soal peribadi ini bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup.

Mengikut konsep  negara sekular DAP, bantuan untuk aktiviti keagamaan mungkin sahaja akan tetap diberikan kepada umat Islam, sepertimana yang didakwa dilakukan oleh Kerajaan Pulau Pinang sekarang asal sahaja aktiviti ini tidak membabitkan aspek-aspek politik. Sebarang perlaksanaan hukum syariah, khususnya hudud, pula sudah semestinya tidak akan dibenar untuk dilaksanakan.

Selain bukti umum yang diberikan terdahulu, termasuk juga penentangan keras DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah yang sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam yang melakukan kesalahan syariah sahaja, sebenarnya terdapat pelbagai contoh spesifik boleh diberikan mengenai sikap DAP yang tidak mesra Islam.

Dalam isu institusi Islam, Zairil Khir Johari telah mempersoalkan dalam portal berita Malay Mail Online pada 27 Jun 2015 kewujudan JAKIM. Lim Kit Siang sendiri telah mengongsi laporan portal berita The Malaysian Insider bertarikh 9 November 2015 yang mencadangkan penghapusan JAKIM di dalam blog beliau, sekali gus menjadi petanda persetujuan beliau dengan cadangan tersebut.

Lim Kit Siang telah mempersoalkan pada 1 Februari 2014 kandungan khutbah Jumaat yang menyebut perpecahan umat Islam disebabkan hasutan umat Kristian dan Yahudi. Begitu juga dengan Tony Pua pada 15 Februari 2014 berkait dengan larangan ke atas umat Islam menyambut Hari Valentine dan kritikan Chong Eng pada 9 Februari 2015 berkait kewajipan wanita Muslim menutup aurat.

Dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Qur’an, Dr Tan Seng Giaw telah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 September 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Qur’an melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam, teruatama pada waktu Subuh, kerana, kata beliau, “bahkan juga 1500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”

Dalam isu solat hajat, Teresa Kok telah mempersoalkan dalam muka buku beliau pada 22 Julai 2016 kewajaran Ahli EXCO Hal Ehwal Agama Selangor dari PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, mengarahkan agar semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah agar konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam pada 25 Julai dibatalkan.

Dalam isu umrah di Mekah, pemimpin DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, telah mempersoalkan dalam muka buku beliau pada Februari 2016 sama ada dosa penganut Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Mekah. Sindiran sama juga telah disuarakan oleh pemimpin DAP Johor, Suppiah Ramakrishnan, dalam muka buku beliau pada Mac 2016 walaupun ia kemudiannya dipadamkan.

Dalam isu aurat, Nga Kor Ming telah menyindir dalam muka buku beliau pada Disember 2015 purdah yang dipakai oleh sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Ahmad Darus, yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 supaya pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat sebagai ‘pemimpin Melayu otak cacat’.

Dalam isu murtad, Datuk Ngeh Koo Ham telah mengeluarkan kenyataan pada 7 Jun 2014, yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam. Kata beliau, umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.

Sikap DAP yang tidak mesra Islam ini juga tergambar di dalam tindakannya memutuskan hubungan dengan rakan-rakan pakatannya. Pemisahan DAP dari semua pakatan politik yang pernah disertainya, iaitu Gagasan Rakyat pada Januari 1995, Barisan Alternatif pada September 2001 dan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 kesemuanya berpunca dari ketidaksetujuannya terhadap perjuangan Islam PAS. ~Harakahdaily

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN)
Universiti Utara Malaysia


Tiada ulasan: