Isnin, 24 Oktober 2016

Sabotaj Air: Azmin sahkan LUAS sudah buat laporan polis

Oleh Haizal Yatiran & Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali hari ini mengesahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah membuat laporan polis semalam, berhubung insiden pencemaran air di Sungai Semenyih.
 
Katanya, laporan tersebut dibuat supaya satu siasatan oleh polis boleh dilakukan bagi mengheret 'dalang' yang menyebabkan pencemaran tersebut ke muka pengadilan.
 
"LUAS sudah ambil inisiatif buat laporan polis jadi biar polis siasat la. Kita mahu pelaku pencemaran harus dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
 
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar hari ini mencabar Azmin untuk membuat laporan polis berhubung dakwaannya bahawa pencemaran air di Sungai Semenyih disabotaj oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno.
 
Noh sebaliknya berkata, Azmin perlu menyedari perkara itu berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri pimpinannya sendiri dalam menyelesaikan urusan pengambilalihan industri air di negeri itu.
 
Azmin semalam mendakwa pencemaran air di sungai berkenaan yang menjejaskan kira-kira sejuta penduduk berlaku kerana disabotaj.
 
Pencemaran Sungai Semenyih itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup, sekali gus mengakibatkan empat daerah terjejas, iaitu Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.
 
Penutupan LRA itu pagi semalam, adalah kali kelima dalam tempoh sebulan selepas Sungai Semenyih tercemar disyaki berpunca dari kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.
 
 

Tiada ulasan: