SHAH ALAM: Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
mempersoalkan bagaimana dana RM3.3 bilion daripada kerajaan Persekutuan
disalurkan terus kepada Jabatan Air Sabah, tanpa melalui kerajaan negeri
terlebih dahulu.
Ujarnya, apa yang berlaku itu mungkin mencerminkan petanda tatakelola dan pengurusan buruk oleh kerajaan pusat.
“Bagaimana hal ini boleh berlaku tanpa pengetahuan menteri Sabah yang berkenaan?
“Sepatutnya wang rakyat dan Jabatan Air Sabah diurus khusus untuk memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat Sabah.
“Maka, insiden ini membuktikan bahawa amalan rasuah sudah parah dan
terus membarah di negara kita yang tercinta ini,” katanya dalam satu
kenyataan medianya, hari ini.
Anwar berkata demikian mengulas isu rampasan sejumlah dana membabitkan pegawai atasan Jabatan Air Sabah.
Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KLBW), Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal sebelum ini memberitahu semua peruntukan kementeriannya
disalurkan melalui kerajaan negeri sebelum tiba kepada mana-mana jabatan
kerajaan.
Justeru beliau menafikan sebarang tuduhan yang mengaitkannya dengan skandal rasuah menggemparkan negara di Sabah baru-baru ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 Oktober lalu
dilaporkan merampas RM112 juta wang tunai ekoran penahanan dua pegawai
kanan Jabatan Air Sabah.
Ia dianggap rampasan terbesar SPRM setakat ini.
Selain wang tunai, turut disita ialah sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah.
Semua empat suspek kes yang melibatkan dana RM3.3 bilion untuk projek
kerajaan Pusat itu ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan