Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengharapkan kerajaan
memberi pertimbangan yang sewajarnya di dalam menyediakan peruntukan
kepada kementerian tersebut dalam Bajet 2017 nanti.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semasa keadaan
ekonomi sangat lemah ketika ini, MITI memerlukan peruntukan yang
mencukupi untuk mengadakan pelbagai promosi supaya pertumbuhan negara
tidak terus terjejas.
"Kami harap diberi pertimbangan sewajarnya semasa pembentangan
bajet nanti. Kami telah memberi cadangan-cadangan bersesuaian untuk
dimasukkan ke dalam Bajet 2017.
"Ini kerana apabila persekitaran ekonomi mencabar, kami perlu
meningkatkan usaha untuk menjana pertumbuhan," katanya kepada pemberita
selepas sesi dialog syarikat peringkat tengah (mid-tier companies) di
sini hari ini.
Menurut Mustapa, beberapa perkara di dalam dialog berkenaan akan
diberi tindakan lanjut terutamanya yang melibatkan isu-isu halangan
bukan tarif di antara syarikat Malaysia dengan syarikat luar dalam
kalangan negara ASEAN.
"Secara dasarnya isu-isu tersebut telah dipersetujui dalam
Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) namun apabila dilaksanakan,
masih ada masalah yang timbul contohnya mengenai kerenah birokrasi.
"Jadi kami akan cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan mengadakan perbincangan dua hala dengan negara terbabit," katanya.
Tambah Mustapa, syarikat peringkat tengah amat penting kepada
pertumbuhan negara melalui eksport sama ada dari sektor pengilangan mahu
pun perkhidmatan.
Syarikat peringkat tengah ditakrifkan sebagai syarikat-syarikat
yang mempunyai perolehan tahunan sebanyak RM50 juta sehingga RM500 juta
bagi sektor pengilangan manakala RM20 juta sehingga RM500 juta dalam
sektor perkhidmatan. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan