Rabu, 24 Ogos 2016

Sanggupkah pembangkang taat pada Mahathir?

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] Nampaknya, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) memilih jalan selamat dalam memeta strategi pilihanraya umum ke-14 yang akan berlangsung kurang dua tahun lagi. 
 
Kerabat BN dilihat cuba mengaplikasikan konsep asas politik – bersatu teguh – dalam menghadapi cabaran parti-parti politik pembangkang yang semakin banyak bilangannya kini.  
 
Parti Gerakan dan MCA jelas mahu menggunakan kekuatan perpaduan dalam parti untuk menghadapi saingan parti Cina bukan Melayu seperti DAP dan separa Melayu seperti PKR.
 
Sebagai langkah permulaan,  Parti Gerakan akan mengumumkan senarai calon parti itu lebih awal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong.
 
Beliau berkata, pihaknya akan memuktamadkan senarai calon bagi bertanding di 45 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), selewat-lewatnya Oktober ini.
 
"Pada pilihan raya umum lepas, semuanya dilakukan pada saat akhir, dan keputusan tidak berapa baik.
 
"Kami berharap dengan mengumumkan kesemua calon sekarang, kami boleh mencapai keputusan lebih baik," katanya.
 
Gerakan mahu mendekati pengundi seawal mungkin supaya mudah membentangkan wawasan politiknya mahu membangunkan rakyat dan negara.
 
Meskipun insaf bahawa tindakan itu bakal menyebabka perebutan untuk menjadi calon pilihanraya di kalangan ahli, namun Gerakan berazam mengeratkan perpaduan parti terlebih dahulu. 
 
Mah tidak menolak kemungkinan akan berlaku pelbagai masalah termasuk sabotaj dalam kalangan anggota parti namun Gerakan akan terus menjadikan agenda perpaduan fokus parti.
  
Mah berkata, pihaknya akan bekerja keras bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat terutama di Pulau Pinang.
 
Sementara itu, MCA pula sudah mengenalpasti calon bagi PRU14 untuk merampas semula kerusi yang mereka kalah pada PRU lalu.
 
Menurut presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai, MCA akan mengadakan pertemuan dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk berbincang tentang calon yang dipilih itu.
 
“Kriteria bagi pemilihan calon kami bukan sahaja berlandaskan keputusan parti, tetapi juga seseorang calon itu mestilah disukai ramai dan boleh menang. 
 
Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata, MCA akan meminta semula tiga kerusi Parlimen miliknya di Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju dari Umno.
 
“Kita pinjamkan tiga kerusi parlimen kepada Umno dan mahu dapatkannya semula. Kami yakin Umno akan membantu MCA untuk memenangi sokongan Melayu.
 
“Bagi MCA, persiapan bermula sejak awal lagi. Misalnya di Pulau Pinang, jika mereka mahu adakan pilihan raya awal, kami bersedia,” katanya.
 
Beliau menegaskan bahawa calon-calon MCA adalah gabungan muka baru dan lama.
 
Liow berkata, MCA bekerja keras untuk memenangi semula sokongan masyarakat Cina dengan terus membantu dan berkhidmat kepada rakyat, termasuk di kawasan di mana MCA tewas pada PRU lepas.
 
Umno pula kini sibuk dengan mesyuarat peringkat Bahagian-Bahagiannya dan  ini adalah peluang baik baginya menggariskan rangka strateginya kepada pemimpin peringkat akar umbi.
 
Jika keselarasan pemikiran politik dapat dianyam melalui proses mesyuarat bahagian-bahagiannya, perhimpunan agungnya tahun ini akan menyaksikan perpaduan Umno semakin bertaut. 
 
Bagaimanapun persediaan dua blok pembangkang – Gagasan Sejahtera dan Pakatan Harapan – masih berpaut pada banyak kemungkinan. 
 
Sama seperti komponen BN, pihak pembangkang – DAP, PKR dan Amanah dari Pakatan Harapan dan PAS serta IKATAN dari Gagasan Sejahtera– masih bergelut dengan isu perbalahan dalaman mereka sendiri. 
 
Yang sedikit berbeza ialah, kini BN lebih cenderung menjurus pada perpaduan sementara kemunculan Parti Pribumi Bersatu yang dipimpin oleh Tun Mahathir mungkin merumitkan lagi keadaan di dua blok pembangkang itu. 
 
Pada asasnya Parti Pribumi mahu meletakkan calon di kerusi-kerusi yang dimiliki Umno. Ia juga mahu bertanding kerusi yang pernah ditandingi Pakatan Rakyat tetapi tewas pada Umno.
 
Parti Pribumi kini mengintai 88 kerusi yang dimenangi Umno-BN pada PRU13 lalu sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan. Namun RoS mempunyai kriterianya sendiri untuk meluluskan pendaftaran atau tidak. 
 
"Buat masa ini ada 88 kerusi Umno yang telah ditandingi oleh PAS dan PKR pada PRU13 tetapi telah dimenangi (semuanya) oleh Umno. 
 
"Semestinya tumpuan Parti Pribumi adalah pada 88 kerusi yang telah dimenangi oleh Umno yang mungkin akan menjadi sebagai asas perbincangan di antara mereka dengan PKR, PAS dan Amanah.
 
"88 kerusi ini adalah satu jumlah yang besar dan saya jangka kebanyakan kerusi ini adalah kerusi yang telah ditandingi oleh PAS, dan sebahagian lagi ditandingi oleh PKR," kata Pengarah Komunikasi Amanah, Abdul Khalid Samad. 
 
Soalnya mahukah PAS memberi laluan kepada Parti Pribumi? Begitu juga dengan Amanah. Relakah memberi laluan pada parti serpihannya, Amanah yang terang-terangan menyatakan ia mahu menggantikan PAS? 
 
Adakah DAP akan bersetuju? Ia adalah seteru falsafah perjuangan PAS. Adakah ia sanggup bekerjasama pula dengan Parti Pribumi dan memberi laluan pada parti baru itu bertanding di kerusi-kerusi yang ia pernah kalah pada BN?
 
Akhir sekali, seandainya Parti Pribumi dapat merampas sebilangan besar kerusi Umno dan berjaya pula memiliki kerusi-kerusi yang gagal dimenangi PKR, DAP dan PAS dalam PRU 13, redhakah kedua-dua blok pembangkang itu taat tunduk pada parti Dr Mahathir?
 
 

Tiada ulasan: