Jumaat, 8 Julai 2016

Pengarah DBP mesti pandai bahasa, bukan mengampu

Anne Muhammad & Rusnizam Mahat


Apabila menyentuh mengenai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pasti yang terlintas di fikiran adalah sumbangan dan peranan yang dimainkan sebagai sebuah institusi pengembangan bahasa, budaya dan sastera di negara ini.

Pada 22 Jun lalu, DBP genap berusia 60 tahun. Namun sehingga kini institusi itu tidak lekang berdepan kritikan termasuk daripada kalangan cendikiawan dan ahli akademik sendiri.

Bagi bekas senator Syed Husin Ali, DBP harus melakukan banyak pembaharuan agar ia terus kekal relevan dalam menghadapi peredaran zaman.

Paling utama, katanya, institusi bahasa itu sendiri harus diterajui individu yang benar-benar berkebolehan dalam bidang bahasa dan sastera.

“Pengarah DBP kena orang yang betul-betul komited dengan bahasa, tahu masalah pendidikan bahasa dan tahu masalah penerbitan (bagi menghasilkan) buku-buku yang bernilai.

"Sekarang pengarah baru, kakitangan kerajaan yang tak tahu soal bahasa dan kerjanya mengampu," katanya ketika ditemubual Malaysiakini di sebuah syarikat penerbitan,Gerak Budaya baru-baru ini.

Mungkin ramai mengenali Syed Husin sebagai seorang tokoh politik veteran dan pernah memimpin parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum parti itu bergabung dengan Parti Keadilan Nasional.

Namun mungkin tidak ramai tahu Syed Husin juga adalah seorang penulis dan pernah bersama mengasakan Persatuan Penulis Nasional (Pena).

Banyak menulis buku berkaitan politik dan sosiologi termasuk kajian Melayu dan beberapa buah cerpen, Syed Husin yang kini berusia 80 tahun masih aktif menulis.

Menurutnya kini, usaha bagi meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dilihat agak ketinggalan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, gedung bahasa itu juga seperti tidak berdaya dalam menyatakan pendiriannya terhadap beberapa dasar kerajaan membabitkan soal bahasa.

“Macam soal DLP (Dual Language Program). Soal itu ternyata mencabar kedudukan bahasa Melayu.

“Apabila DBP tidak bersuara ini memundurkan peranan DBP untuk bersama-sama memperjuangkan bahasa kebangsaan,” katanya yang suatu ketika pernah rapat dengan penulis tersohor seperti sasterawan negara, Allahyarham Datuk Usman Awang dan Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail.

Tak segah bangunan

Syed Husin berkata, kejayaan DBP tidak seharusnya diukur dari segi materialistik semata-mata.

Sebaliknya, DBP harus berperanan dalam menerbitkan lebih banyak buku dan karya-karya berkualiti.

“Bangunannya gah dan pegawainya agak ramai juga, tapi DBP tidak segah pembangunan yang dibina.

“Jadi mengukur kejayaan institusi itu bukan dari segi bangunannya tapi melalui buku yang diterbitkan, berapa (banyak buku) yang ditulis dan saya rasa tak seimbang di antara keindahan bangunan itu dengan hasil yang dikeluarkan,” kata Syed Husin.

Selain itu, katanya, DBP juga perlu bergerak sebagai sebuah institusi bebas selari dengan tujuan asal ia ditubuhkan dan tanpa sebarang campurtangan politik.

"Mereka mesti jalankan kerja tanpa interference dari politik kepartian. Ia mesti jadi institusi bebas dan kerjanya mesti menjalankan tujuan yang termaktub dalam tujuan asal DBP ditubuhkan,” tegasnya.

Bukan hanya institusi Melayu

Syed Husin berkata DBP tidak seharusnya dilihat sebagai sebuah institusi Melayu semata-mata, apatah lagi ia merupakan sebuah gedung bagi bahasa kebangsaan.

Oleh itu, katanya, adalah penting sekiranya DBP turut melibatkan peranan bukan Melayu yang mahir dalam soal bahasa.

"Ia adalah natural kalau lebih ramai orang Melayu yang terlibat (dalam DBP), tapi bagi saya janganlah sampai kelihatan seolah-oleh exclude orang bukan Melayu.

"Salah satu cara nak tarik orang bukan Melayu iaitu dengan melibatkan mereka dengan kerja-kerja dalam DBP dan aktiviti dalam DBP," katanya.

Tambah Syed Husin, antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan mempergiatkan usaha penterjemahan buku-buku bahasa asing termasuk bahasa Cina dan Tamil.

"Kalau banyak buku bahasa Cina dan India diterjemah, mereka akan merasa buku-buku mereka dimuliakan dan diiktiraf serta tidak merasa diketepikan," katanya.

Tiada ulasan: