Rabu, 13 Julai 2016

Pas cadang gencatan senjata antara pembangkang

BORHAN AHMAD
 
 
Tuan Ibrahim Tuan Man cadang gencatan senjata di kalangan pembangkang dan senjata dihalakan kepada musuh sebenar iaitu Umno dan BN.Tuan Ibrahim Tuan Man cadang gencatan senjata di kalangan pembangkang dan senjata dihalakan kepada musuh sebenar iaitu Umno dan BN.Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar gencatan senjata dibuat di kalangan parti pembangkang dan memberikan tumpuan kepada musuh bersama iaitu Umno dan Barisan Nasional.

Cadangan ini dibuat sebagai jalan keluar untuk menghadapi masalah serang menyerang antara satu sama lain yang berlaku sekarang, katanya.

"Parti-parti pembangkang perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar (Umno-BN).

"Jangan pedulikan tulisan murahan cybertrooper yang suka melagakan antara satu sama lain. Golongan ini akan ada di setiap zaman dan tempat," kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya dengan latar belakang Pas kalah teruk dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini.

Tuan Ibrahim juga teruk diserang ekoran kenyataan beliau bahawa kerajaan perlu melakukan sesuatu agar rakyat tidak boleh dikelirukan oleh Sarawak Report lagi ekoran pendedahan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang diOSAkan oleh kerajaan BN.

Turut menyerang beliau adalah Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang kesal dengan dakwaan beliau laporan Sarawak Report mengelirukan rakyat.

Bagi Tuan Ibrahim, apa yang penting dilihat ialah masa depan negara.

Ini kerana masa depan rakyat, agama, bangsa bahkan parti politik hanya akan wujud bila adanya kestabilan negara, katanya.

Beliau juga meminta agar ada titik kompromi, di mana ia tentu akan memerlukan tolak ansur satu sama lain.

"Namun, jalan kompromi ini tidak mudah," kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada ketajaman hubungan antaranya dengan DAP dan parti pecahan darinya iaitu Amanah.

Beliau akui, tiada satu ubat mujarab yang dapat menyembuhkan luka mendalam di hati antara parti-parti pembangkang.

Isunya juga, katanya, ialah apakah perkara yang perlu dikompromi dan apa yang tidak boleh dikompromi?

"Banyak persamaan yang perlu diutamakan berbanding hanya beberapa perkara sahaja yang berbeza.
Dalam mewujudkan toleransi politik yang baik, tentulah usaha perlu diambil bagi memperbesarkan persamaan dan mengecilkan ruang perbezaan," katanya.

Menurut beliau, dalam setiap kali kerjasama politik, sejarah telah membuktikan bahawa PAS sebagai parti lama selalu mengambil sikap berjiwa besar mengorbankan kerusi, berkongsi jentera serta memberikan bantuan kewangan kepada rakan-rakan parti.

"Apakah ini tidak cukup sebagai rakan parti," soal beliau.

Bagi Pas, kata Tuan Ibrahim, semua tahu bahawa Pas tidak akan berkompromi dalam perkara yang menjadi dasar dan prinsip Islam yang tidak akan melampaui dan mencabul hak bukan Islam.

"Pas tegaskan bahawa kami tidak akan mengorbankan prinsip dan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan Pas sejak ditubuhkan dan inilah pegangan semua kepimpinan parti dari dahulu sehingga kini," katanya.

Kalau prinsip dan dasar Islam yang dibawa Pas adalah titik perbezaan, langkah komprominya ialah hormati perbezaan itu dan jangan dijadikan ia sebagai titik pertikaian selagi Pas memperjuangkan dasarnya dalam ruang demokrasi yang ada, tegasnya.

"Dengan niat yang betul, kompromi boleh dicapai dengan hanya memokuskan apa yang boleh disumbangkan oleh setiap parti tanpa perlu menggadaikan dasar parti masing-masing.

"Jika titik kompromi tidak dapat dicapai, terpaksalah semua parti pembangkang bersedia untuk menang jadi arang, kalah jadi abu di PRU akan datang.

"Jika titik kompromi dijumpai, percayalah yang menjadi abu hanyalah satu, iaitu Umno-BN," katanya.

Tiada ulasan: