Sabtu, 9 Julai 2016

PAS akan kekal dalam kerajaan negeri Selangor lepas PRU14

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
MUAR: PAS akan kekal dalam pentadbiran Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, jika Pakatan Harapan dan parti berkenaan sekali lagi diberi mandat memimpin kerajaan negeri itu, demikian keyakinan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
 
Menurut Mahfodz PKR sama sekali tidak akan mengenepikan PAS walaupun parti itu kini mempunyai Amanah dalam pakatan barunya itu.
 
Malah ujarnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini mengakui betapa PAS punya aura dan pengaruh yang kuat di Selangor.
 
"(Datuk Seri) Azmin (Ali) mesti lebih tahu mana parti yang kuat, mestilah dia nak ambil yang kuat. Walaupun nak tukar dan ada kompromi, contoh nak jadi ahli majlis, dulu tak ada langsung. Sekarang ni bila orang PAS melompat kepada PAN maka ada suara dua tiga orang maka dapatlah PAN menjadi ahli majlis.  
    
"PKR kena fikirlah kalau nak singkirkan PAS, kerana di Selangor ni PAS mula-mula menang cuma 5 kerusi selepas itu dalam PRU lepas dapat sampai 15. Peningkatan dalam kalangan pengundi yang dapat bezakan antara Umno, PAS dan PKR," katanya kepada Antarapos.
 
PAS sebelum ini pada pilihan raya umum lalu berjaya memenangi sebanyak 15 kerusi, namun dua daripadanya keluar meninggalkan parti dan menyertai Amanah.
 
Tetapi tindakan itu tidak menggugat PAS untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kerajaan negeri.
 
Ramai menjangkakan kedudukan PAS dalam Selangor akan berakhir pada PRU14 untuk memberi laluan kepada pemimpin PAN yang kini menggantikan parti itu dalam Pakatan Harapan (PH) selepas Pakatan Rakyat (PR) terkubur tahun lalu.
 
Tetapi Mahfodz juga tidak mahu merasa selesa dengan keyakinan itu, dan bersedia dengan sebarang kemungkinan namun menegaskan sekiranya ada pihak yang mahu bekerjasama dengan mereka, PAS mahu menjadi penentu kuasa.
 
Beliau turut mengakui parti itu tidak boleh membentuk kerajaan sekiranya bersendirian.   
 
"Logiknya begitulah tetapi dari segi politik ini benda tu tak mustahil berlaku. Kalau PAS dapat wakil rakyat ramai tapi kita tak boleh bentuk kerajaan, maka kita akan jadi parti yang menentukan. 
 
"Tak kira siapa parti politik yang kurang untuk membentuk (kerajaan) mereka mesti berjumpa dengan kita. Masa tulah kita boleh tawar menawar, boleh gunakan kuasa politik kita. Kalau nak (bersama) kita ini dia syarat-syarat dia.         
 
"Memanglah kalau sendirian tak boleh tapi dengan adanya kekuatan kita boleh meraih undi yang banyak maka masa itulah kita ada 'bargaining power'," jelas beliau.  


Tiada ulasan: