Selasa, 12 Julai 2016

Majikan diminta elak buang pekerja


obt
 

PIHAK majikan di negara kita diminta bersabar dan seboleh-bolehnya tidak membuang pekerja walaupun ketika ini mereka dibebani pelbagai tanggungan kos yang tinggi dan ekonomi yang agak merudum.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Samsuddin Bardan berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan gaji minimum difahamkan antara punca yang menjadi bebanan dan tambahan kos kepada pihak majikan selain kelembapan ekonomi buat masa ini.

"Pelaksanaan gaji minimum yang dikuatkuasakan pada Julai ini menyebabkan pertambahan kos yang perlu ditanggung oleh pihak majikan. Bagi pekerja yang bergaji RM1,000 sebulan, mereka pastinya akan tuntut kenaikan gaji setelah pekerja yang bergaji bawah RM900 dinaikkan kepada gaji minimum RM1,000.

"Bagaimanapun, pertambahan kos ini seharusnya tidak dijadikan alasan kenapa pihak majikan perlu membuang pekerja," katanya ketika ditemu bual oleh China Press.

Samsuddin percaya dengan pelaksanaan gaji minimum ini dan ditambahkan lagi pihak majikan tidak mempunyai ruang untuk menyediakan pekerjaan, banyak syarikat akan membuang pekerja mereka secara berperingkat dalam masa terdekat.

"Ini seterusnya akan membawa masalah kepada ramai orang setelah kehilangan pekerjaan. Begitu juga kalangan belia yang sukar mendapatkan kerja selepas menamatkan pengajian di universiti dan kolej.

"Didapati daripada penganggur yang berjumlah 400,000 orang di negara kita, sekurang-kurangnya 70 peratus adalah terdiri daripada pelajar lepasan universiti. Ada yang berjaya dapat kerja, namun terpaksa bekerja mengisi jawatan di peringkat bawahan dengan gaji yang rendah," katanya.

Ketika keadaan ekonomi tidak menunjukkan perkembangan yang menggalakkan, bidang perladangan pula sebaliknya kekal stabil dan membawa keuntungan kepada pengusaha terbabit.

"Banyak sektor perniagaan gagal memperoleh keuntungan yang memberangsangkan, ini termasuklah bidang insurans, perhotelan dan sebagainya. Cuma sektor perladangan yang tidak terjejas dengan teruk. Sektor ini memerlukan pekerja yang ramai. Malangnya pekerja tempatan tidak menunjukkan minat untuk menceburi bidang tersebut," kata Samsuddin.

Beliau berpendapat, rakyat tempatan sepatutnya terlibat secara giat bidang perladangan ini walaupun harga di pasaran berada dalam keadaan tidak menentu.

"Rakyat tempatan tidak berminat kerja di ladang kerana perlu tinggal di kawasan pedalaman dan ladang," katanya.

Dalam pada itu, pengusaha industri kecil dan sederhana diminta berusaha menerokai pasaran baharu memandangkan jumlah perniagaan membabitkan industri itu telah menurun antara 30 hingga 50 peratus pada Jun lalu berbanding tahun lalu.

Namun demikian, pengusaha terbabit masih belum bersedia mengurangkan jumlah pekerja mereka kerana didapati tenaga pekerja tetap diperlukan terutama untuk bidang perkilangan.

Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia, Michael Kang berkata, buat masa ini, pengusaha industri kecil dan sederhana masih belum bertindak membuang pekerja memandangkan kebanyakan pengusaha terbabit masih memerlukan pekerja yang ramai.

"Sekiranya ada pengusaha yang buang pekerja, mereka hanya buang pekerja warga asing sahaja. Kalau ada pekerja tempatan yang dibuang, ia mungkin berlaku pada syarikat-syarikat korporat yang besar.
Syarikat-syarikat kecil dan sederhana masih tidak bersedia buang pekerja mereka," katanya.

Beliau berharap para pengusaha IKS bersedia menghadapi cabaran dengan melakukan perubahan dan pembaharuan dalam syarikat mereka.

"Dalam menghadapi saingan dalam dunia perniagaan, pengusaha IKS perlu memikirkan bagaimana meningkatkan produktiviti. Sebagai contoh, mereka boleh menyediakan latihan teknikal kepada pekerja mereka.

"Langkah ini bukan sahaja mampu mendatangkan faedah kepada syarikat dari segi produktiviti, malahan boleh menjimatkan jumlah pekerja, " katanya.


Tiada ulasan: