PETALING JAYA: Seorang daripada dua suspek yang disyaki terbabit dalam
letupan bom ke atas pusat hiburan di Puchong minggu lalu, ditahan polis.
Akhbar Oriental Daily memetik Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten
Komisioner Abdul Wahib Musa sebagai mengesahkan Jasanizam Rosni, 33,
kini dalam tahanan polis.
Menurut akhbar itu, Jasanizam ditahan di sekitar Batu Pahat, Johor petang semalam.
Seorang lagi suspek, Md Saifuddin Muji, 28, yang dipercayai bersubahat
melancarkan serangan ke atas pusat hiburan Movida pada 28 Jun lalu,
dipercayai masih berada di selatan Semenanjung dan dia dikatakan membawa
bersamanya bom tangan.
Susulan penahanan Jasanizam, polis percaya dapat memberkas Saifuddin tidak lama lagi.
Sementara itu, The Star Online melaporkan Jasanizam dan Saifuddin
adalah kawan baik dan mereka bekerja sebagai peniaga pasar malam.
Adik Jasanizam, Irsyad Rosni, 23, berkata Saifuddin akan memandu ke
rumah mereka di Parit Raja untuk membawa abangnya berniaga di pasar
malam berhampiran rumahnya.
Jelasnya, ayah mereka meninggal dunia beberapa tahun lalu dan Jasanizam
bersama isteri serta tiga anaknya tinggal di rumah keluarganya untuk
menjaga ibunya berusia 66 tahun.
Beliau berkata, Jasanizam yang jarang meninggalkan rumah untuk tempoh lama, tidak pulang ke rumah sejak hujung minggu lalu.
“Selagi tidak tahu cerita sepenuhnya, lebih baik kami kekal bertenang.
Tetapi ini adalah hari raya yang sunyi bagi kami,” katanya kepada The
Star Online.
Manakala ahli keluarga Saifuddin pula kali terakhir melihatnya di
Kampung Parit Gantung di Seri Merlong, Rengit pada Jumaat lalu dan sejak
itu mereka gagal menghubunginya.
Abang Saifuddin yang enggan namanya disiarkan berkata, adiknya akan pulang ke rumah selepas berniaga di pasar malam.
“Dia bukan jenis yang selalu keluar rumah,” katanya sambil menambah
ibunya sedih dan terkejut apabila mengetahui anaknya terbabit dalam
serangan di Puchong itu.
Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan
letupan bom di Puchong adalah serangan pengganas IS pertama di negara
ini.
Susulan itu, dua lelaki dipercayai bertanggungjawab melempar bom tangan
ke arah pusat hiburan itu ditahan ketika bekerja di sebuah kilang di
Pelabuhan Klang pada 1 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan