Isnin, 11 Julai 2016

Kembalikan kedudukan Sarawak sebagai 'wilayah' bukan 'negeri'

MALAYSIA DATELINE
 
 
Kedudukan Sarawak dalam Malaysia masih menjadi perbahasan pemimpin politik negeri.Kedudukan Sarawak dalam Malaysia masih menjadi perbahasan pemimpin politik negeri.


Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen meminta kerajaan BN memfailkan rang undang-undang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan supaya Sarawak dapat kembali kepada kedudukan asalnya sebagai sebuah wilayah.

Menurutnya, DAP bersedia menyokong pindaan berkenaan dan bersama Ahli Parlimen BN dan PKR, ia memerlukan lebih daripada majoriti dua pertiga meminda perlembagaan berkenaan.

“Kami dalam DAP sudah menjelaskan pendirian kami malah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sudah membuat pendirian bahawa DAP akan menyokong pindaan kepada perlembagaan bagi mengembalikan kedudukan Sarawak sebagai sebuah wilayah dan bukan negeri dalam Malaysia.

“BN mempunyai 122 Ahli Parlimen (28 adalah dari Sarawak) manakala DAP mempunyai 38 Ahli Parlimen. Saya percaya PKR juga menyokongnya dan ini bermakna kita akan ada lebih daripada dua pertiga untuk meminda perlembagaan.

“Maka itu tidak perlu lagi bercakap, lakukan di dalam Parlimen,” katanya ketika ditemui semasa mengunjungi majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Petra Jaya, dekat sini semalam.

Chong juga Ahli Parlimen Bandar Kuching mengulas mengenai seruan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk merujuk kepada Sarawak sebagai sebuah wilayah dalam Malaysia dan bukan negeri di dalam persekutuan apabila berunding dengan kerajaan persekutuan mengenai penurunan kuasa.

“Pada mulanya di dalam Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan asal, ia telah diperuntukkan bahawa Malaysia terdiri daripada empat wilayah iaitu Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

“Bagaimanapun pada 1976, pindaan perlembagaan telah dibuat di mana klausa tersebut telah dipinda kepada ‘Malaysia terdiri daripada 13 negeri iaitu…termasuk Sabah dan Sarawak dan satu wilayah’.

“Di sanalah status Sarawak sebagai sebuah wilayah telah diturunkan kepada negeri,” kata Chong.

Manakala Karim juga ketika ditemu bual mengenai perkara itu menyifatkan saranan untuk merujuk kepada Sarawak sebagai sebuah wilayah dan bukan negeri sebagai ‘sangat subjektif’.

Sambil menyatakan perkara itu agak sensitif, beliau berkata ia adalah lebih penting untuk memberi tumpuan kepada hak Sarawak kerana ia adalah salah satu daripada pihak yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963.
“Tidak seperti negeri Melayu bersekutu dan tidak bersekutu di Semenanjung Malaysia, mereka menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 sebagai satu entiti manakala Sarawak menandatanganinya sebagai satu lagi entiti, Sabah entiti lain selain Singapura.
“Pada pendapat saya, dari aspek perundangan, ia harus dipanggil persekutuan negeri,” katanya.

Karim juga Menteri Muda Belia dan Sukan berpendapat bahawa Sarawak masih dapat menganggap diri sebagai sebuah negeri kerana ia adalah sebahagian daripada Malaysia, lapor Borneo Post.

“Sarawak masih boleh dianggap sebagai sebuah negeri tetapi ia adalah sebuah negeri di dalam satu kesatuan dalam sebuah konfederasi.

“Sama ada kita harus menganggap diri sebagai sekadar Sarawak atau sebuah negeri, bagi saya itu adalah perkara kecil.

“Apa lebih penting sekarang ialah ketika kita menandatangani Perjanjian Malaysia, terdapat hak tertentu kita sudah persetujui dan hak ini telah dihakis sejak 53 tahun yang lalu dan kita mahu mengembalikannya,” katanya.

Karim berharap hak negeri ini dapat dikembalikan semula, terutamanya dalam usaha Adenan terhadap autonomi Sarawak.

Tiada ulasan: