Selasa, 12 Julai 2016

Cawangan Khas pantau akhbar terbitan militan Daesh

MALAYSIA GAZETTE


Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi


Cawangan Khas Bukit Aman sedang memantau rapi akhbar bahasa Melayu terbitan militan Daesh yang dipercayai dikendalikan petugas rakyat Malaysia dan Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya belum menerima sebarang edisi bercetak akhbar itu yang setakat ini dikesan boleh dilayari menerusi internet sebanyak 20 halaman.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya percaya akhbar berkenaan cuba disebarkan di seluruh Asia Tenggara dengan tujuan untuk mempengaruhi orang ramai terutama yang memahami bahasa Melayu.

"Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri akan terus memantau mana-mana pihak yang memuat turun atau mencetak akhbar berkenaan.

"Saya menyeru orang ramai supaya tidak melayari dan melakukan pencetakan kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Guru 2016 peringkat daerah Hilir Perak di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas penerbitan akhbar 'Al Fatihin' dalam format e-book atau digital yang dikesan baru-baru ini.

Akhbar keluaran pertama setebal 20 muka surat itu dilancarkan di selatan Filipina pada 20 Jun lepas sebelum kandungannya disebarkan secara dalam talian dan media sosial.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya meminta Kementerian Pendidikan mengkaji skim perkhidmatan perguruan di semua peringkat supaya ia dipertingkatkan bagi menghargai jasa dan sumbangan warga pendidik.

"Kalau kita kata guru adalah pembina negara bangsa, tapi di mana letaknya status guru sosial negara? Maka guru haruslah diberikan peluang lebih baik," katanya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengarah Pendidikan Negeri Perak Rozi Puteh Ismail dan Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak Sulaiman Samsudin serta 1,000 guru dari sekitar daerah Hilir Perak.-- BERNAMA


Tiada ulasan: