Sabtu, 2 Julai 2016

Bundle RM1, minyak wangi percuma, taktik bazaar Masjid India

 
Keputusan untuk menjual pakaian terpakai dengan harga murah dilakukan atas niat bersedekah kepada golongan yang kurang berkemampuan.
 
 
 
Bundle


KUALA LUMPUR: Tatkala para peniaga mula memenuhi pinggiran Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi menjual pakaian keluaran terbaru sempena sambutan Aidilfitri, seorang peniaga memilih sebaliknya.

Ramli Ahmad, 48, memilih untuk menjual pakaian terpakai (bundle) dengan harga yang sangat murah iaitu RM1 sehelai sebagai strategi perniagaannya.

Katanya, keputusan untuk menjual pakaian terpakai dengan harga murah itu juga dilakukan atas niat bersedekah kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Ini kerana, katanya, sambutan hari raya tidak seharusnya disambut mereka yang berkemampuan saja, tetapi ia sepatutnya disambut setiap golongan termasuk gelandangan.

“Sambutan sangat menggalakkan, sebab kita tidak jual pakaian ‘reject’, tetapi pakaian terpakai gred yang baik.

“Kebanyakan pelanggan bukannya berpendapatan rendah saja, berpendapatan sederhana dan yang mampu pun datang juga.

“Saya perhatikan juga peminta sedekah dapat duit derma daripada orang ramai seperti wang seringgit terus datang ke sini mencari baju atau seluar,” katanya ketika ditemui FMT.

Ramli berkata walaupun menjual pakaian tersebut dengan harga murah, beliau dan rakan kongsinya masih mendapat keuntungan.

“Benda (pakaian terpakai) ini kita dapat terlalu murah, jadi barang banyak. Kita tidak mahu pegang stok terlalu lama, kita keluarkan semua stok, secepat mungkin.

“Jual RM1 masih untung, siapa meniaga tidak mahu untung kerana konsep kita sambil beraya, sambil bantu gelandangan,” katanya.

Minyak-wangi

Sementara itu, peniaga minyak wangi Shahrul Amir Ridhuan, 26, memilih untuk menggunakan suara anak kecilnya yang berusia dua tahun sebagai taktik melariskan barang jualannya.

Katanya, suara anaknya itu bukan saja menarik perhatian orang ramai, tetapi ia juga jadi alternatif kerana jika menggunakan suara sendiri pada bulan Ramadhan, tekak mudah haus.

“Saya buat ini kerana jika nak panggil orang datang gerai, kita mudah haus maklumlah sekarang ini bulan puasa,” katanya ketika ditemui FMT.

Shahrul yang menyambung perniagaan bapanya berkata beliau satu-satunya peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menjual minyak wangi dari Pulau Langkawi.

“Ini tahun ke-8 saya meniaga di sini, dan kami merupakan satu-satunya peniaga yang menjual minyak wangi.

“Minyak wangi saya jual bukannya yang murah seperti orang jual di tepi jalan, kerana kita ambil di Pulau Langkawi, ia bebas cukai. Itu sebabnya kita boleh jual dengan harga murah,” katanya.

Beliau menjual sebotol minyak wangi pelbagai jenama dengan harga RM10, dan jika membeli dua botol minyak wangi, pelanggan akan dapat sebotol lagi secara percuma.

“Kita kalau dah ada baju raya cantik-cantik, takkan nak biarkan badan berbau, jadi sebab itu saya menjual minyak wangi,” katanya.

Bagaimanapun, Shahrul berkata perniagaannya pada tahun ini sedikit merosot kerana sudah ada persaingan.

“Sebelum ini orang ramai akan ke sini jika musim perayaan, tetapi disebabkan ada jualan selama 72 jam di PWTC, orang ramai sudah berpecah ke dua lokasi,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: