Selasa, 5 Julai 2016
59 tahun bersama, Islam masih jadi 'musuh'
Oleh MalaysiaGazette
SEBAIK sahaja usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) - Akta 355 selesai dibacakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, rumusan rambang bertebaran - Pas bentang undang-undang hudud. Sana sini bercakap tentang hudud, seolah-olah rang undang-undang tersebut telah diluluskan oleh Parlimen dan akan dilaksanakan keesokan harinya.
Barisan pemimpin DAP menuduh UMNO bersekongkol dengan Pas dalam memberi 'keizinan' kepada Ahli Parlimen Marang membentangkan pindaaan rang undang-undang tersebut. Nada yang sama turut berkumandang dalam kalangan barisan pemimpin parti komponen Barisan Nasional - secara khususnya MCA dan MIC.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai terang-terangan membidas pembentangan rang undang-undang tersebut. Beliau menyifatkan keputusan membenarkan RUU itu dibentangkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan. Akhbar berbahasa Inggeris milik MCA menyiarkan tiga muka surat penuh pelbagai pandangan yang tentunya menentang 'akta hudud' secara mutlak.
Begitu juga barisan kepimpinan MIC. Pemimpin-pemimpin komponen mengugut mahu letak jawatan dan keluar parti jika RUU tersebut terus dibentangkan. Pendek kata - DAP, MCA, MIC 'bersekongkol' pendirian - pindaan RUU Mahkamah Syariah tidak sepatutnya dibentangkan dan jangan sesekali diluluskan. Jika kedua-dua perkara itu dilaksanakan maka perubahan politik Malaysia akan berlaku, itu percaturan mereka.
Takut benar barisan kepimpinan pembangkang dan komponen terhadap rang undang-undang yang audiennya sebenarnya hanyalah orang Islam. Orang bukan Islam tidak tertakluk kepada rang undang-undang yang diusulkan oleh Abdul Hadi sejak beberapa tahun lalu. Apabila dibentangkan pada bacaan pertama, telah dijelaskan bahawa ia hanya terpakai kepada orang Islam. Penegasan itu telah diulang beratus kali, tetapi barisan kepimpinan DAP dan komponen BN memilih untuk mengehadkan pemahaman mereka dan berterusan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang bukan Islam.
Perbincangan seolah-olah tertutup di pihak DAP dan komponen BN sehingga mereka terlupa untuk meneliti akta apa sebenarnya yang diusulkan untuk dipinda. Apakah benar pindaan yang dicadangkan bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan atau undang-undang lain sebenarnya yang dibawa oleh Abdul Hadi pada hari tersebut.
Sikap menutup ruang untuk penjelasan dan perbincangan bukan sahaja menimbulkan prasangka dan ketakutan orang bukan Islam terhadap Islam, malah memberi gambaran bahawa peruntukan Perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi di negara ini diterima tetapi pada tahap yang agak ragu-ragu.
Hakikatnya tiada apa di dalam RUU itu yang menyebut tentang hudud. Ia hanyalah bertujuan memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk meningkatkan hukuman yang agak terbatas dan tidak selari dengan perubahan zaman. Bayangkan kali terakhir akta tersebut dipinda adalah pada tahun 1984 iaitu 32 tahun lalu sedangkan catatan kes jenayah semakin meningkat - memberi gambaran bahawa hukuman sedia ada iaitu denda RM5,000 dan penjara tiga tahun tidak 'menakutkan' penjenayah. Paling penting rang undang-undang itu tiada kaitan langsung dengan pelaksanaan hudud yang menuntut pindaan Perlembagaan Persekutuan jika ia benar-benar mahu dilaksanakan.
Kegagalan membezakan enakmen mahkamah syariah, senarai kesalahan jenayah di bawah enakmen tersebut serta jumlah hukuman dan denda diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri dengan hukuman hudud yang jika mahu dilaksanakan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan menyerlahkan pemikiran sempit pemimpin bukan Islam terhadap Islam.
Bagi mereka apabila bercakap tentang hukuman, dalam Islam hanya ada hudud. Bagi mereka pindaan yang dibentangkan oleh Abdul Hadi bermakna hukuman hudud akan dilaksanakan esok atau lusa - justeru ia mesti ditentang habis-habisan. Segala kekaguman terhadap pemimpin Islam yang mereka pernah luahkan mungkin bukan datang dari hati yang ikhlas, sebab itu apabila undang-undang lain dibentangkan, hukuman lain yang mereka fikirkan.
Barisan kepimpinan DAP dan komponen BN juga seakan-akan terlupa bahawa setiap undang-undang yang mahu dipinda, perlu dibahaskan dari bacaan kedua hinggalah ke peringkat jawatankuasa. Maka bahaskanlah dengan bijak, curahkan buah fikiran walaupun undang-undang tersebut tidak melibatkan bukan Islam sebagaimana petahnya mereka berbicara tentang hukuman Islam selepas Abdul Hadi membentangkan usul tersebut. -- MalaysiaGazette
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan