Rabu, 21 Oktober 2015

Pas akan letak calon DHPP lawan DAP

Pas akan letak calon DHPP lawan DAP
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (depan, kanan) sedang menyaksikan persembahan pentas sempena sambutan 25 tahun Membangun Bersama Islam peringkat negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh JAZALY AMRY JAAFAR


KOTA BHARU - Pas telah mengenal pasti calon-calon yang berpotensi dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) untuk bertanding menentang  DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini ada beberapa calon yang berpotensi bagaimanapun perkara tersebut belum dibincangkan lagi memandangkan ia masih terlalu awal.

“Kita akan bertanding dan mungkin kerusi DAP pun yang kita rasa potensi kita akan letakkan calon DHPP,” katanya kepada media malam tadi sempena sambutan 25 tahun Membangun Bersama Islam peringkat negeri Kelantan.

Detik bersejarah sambutan Jubli Perak Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di hadapan ribuan hadirin.

Termasuk bertanding di Pulau Pinang, Mohd Amar berkata, Pas kini sedang meneliti dan mengumpulkan maklumat untuk meletakkan calon DHPP di mana-mana sahaja kawasan berpotensi mendapat kerusi.

Yakin dapat menambah kerusi pada PRU14 nanti, Mohd Amar berkata perkara itu masih belum diputuskan lagi dan ia juga bergantung pada maklum balas yang diterima sebelum diputuskan Jabatan Pilihan Raya nanti.

“Kita tengok lah macam mana sebab itu masa panjang lagi kita tengah buat pemerhatian,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai formula DAP, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan menegaskan parti itu tidak berhak untuk campur tangan dalam soal pembahagian kerusi.

“Kita tidak terikat dengan DAP, kita  akan buat keputusan kita sendiri kalau ada pun dengan PKR sahaja atau mungkin ada parti lain selepas ini.

“Kalau ikut tempoh normal pilihan raya, dalam tempoh dua tahun lagi. Mungkin dalam tempoh dua tahun ini akan ada persefahaman kita dengan parti lain mungkin masa itu ada perbincangan tentang kerusi,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd Amar  menyifatkan itu adalah satu perkara yang serius dan memerlukan persediaan yang rapi.

Mengenai pendirian Pas dalam soal itu juga masih belum jelas kerana pihaknya tidak mengetahui apa sebenarnya persediaan dilakukan terhadap usul berkenaan.

“Sebab usul undi tidak percaya ini adalah satu usul yang serius dan besar,  kena ada persediaan yang baik, kena ada sokongan yang cukup. Kalau nak pergi dengan bodoh begitu memang tidak boleh,” katanya.

Tiada ulasan: