Rabu, 21 Oktober 2015

H60K bukti PAS makin mantap, sukar digugat parti lain

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: PAS berjaya buktikan parti itu semakin mantap dan padu selepas himpunan anjurannya, Himpunan Fastaqim (H60K) pada Sabtu lalu berjaya menghimpunkan lebih 100,000 ahli sekaligus menjadi petunjuk bahawa kemelut dalaman parti itu hampir reda sepenuhnya.
 
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, parti itu memasuki fasa lonjakan yang baru pasca himpunan berkenaan, berbanding ketika sedang dalam kemelut beberapa tahun lalu. 
 
"Ketika ini, berdasarkan pemerhatian awal Pusat Penyelidikan PAS (PPP), PAS mempunyai kelebihan berbanding parti-parti besar lain yang sedang bergelut dengan krisis dalaman.
 
"PPP mengunjurkan mulai bulan November 2015, PAS akan memasuki fasa lonjakan baru, iaitu mula menumpukan kepada hal ehwal luaran parti dan kebersamaan yang lebih meluas bersama masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Himpunan berkenaan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu dianjurkan sebagai menyatakan sokongan berterusan kepada parti berkenaan selepas beberapa 'ujian' yang melandanya.
 
Ia himpunan pertama anjuran PAS selepas kemelut dalaman membabitkan parti itu yang menyaksikan beberapa pemimpinnya keluar parti bagi menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas tidak selari dengan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Penubuhan Amanah juga menyaksikan pengumuman keluar parti secara beramai-ramai oleh pemimpin PAS di peringkat kawasan, yang dilihat menjejaskan keutuhan parti berkenaan.
 
Malah, Amanah juga mengumumkan bahawa parti itu telah berjaya menarik sejumlah besar keahlian walaupun baru ditubuhkan, yang mana sebahagian besarnya merupakan ahli PAS. 
 
PAS bagaimanapun menafikan pembentukan Amanah yang kini bergabung dengan DAP dan PKR menerusi Pakatan Harapan, sebagai ancaman yang besar kepada parti berusia lebih 60 tahun itu.

Tiada ulasan: