KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata PAS sudah memberi lampu hijau untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkara itu dinyatakan Wan Azizah dalam mesyuarat pertama Pakatan Harapan di Parlimen sebentar tadi.
PAS tidak menghadiri mesyuarat berkenaan.
"Kita akan bincang dengan mereka. Pihak PAS setuju mereka adalah pakatan pembangkang juga walaupun tiada dalam Pakatan Harapan," kata Wan Azizah.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu setuju dengan usul undi tidak percaya itu walaupun pernah berbeza pendapat mengenainya sebelum ini.
"Kita menunggu daripada Ketua Pembangkang bila dia betul-betul usul ini hendak dibawa baru kita buat ketetapan. Setakat ini pada dasarnya kita menyokong, kita masih dalam pembangkang terutamanya dengan PKR. Kita masih lagi dalam hubungan tapi dari segi prosedurnya sepatutnya bila nak bawa usul itu maklumkan kepada kita," katanya di lobi Parlimen.
Biarpun PAS tidak dipanggil untuk mengadakan perbincangan, katanya usul itu diterima untuk dipersetujui.
“Tidak ada perbincangan tapi pada dasarnya kita bersetuju untuk menyokong usul undi tidak percaya sebagai satu kesepakatan pembangkang dan keduanya kerana usul tidak percaya ini adalah sebahagian daripada demokrasi parlimen yang dibenarkan di bawah peraturan. Jadi tidak ada apa yang salah.
“Kita tunggu daripada Ketua Pembangkang, dia beritahu kita, kita akan buat keputusan sebagaimana Presiden kita sebutlah, kita tengok dulu apa yang hendak dibawa,” tambahnya.
Ditanya sama ada semua ahli Parlimen PAS setuju, Takiyuddin menjawab:
“Itu bergantung kepada keputusan parti. Bila parti buat keputusan, dia wajib kena sokong, kita ada 14 orang.”.
Sebelum itu, Pakatan Harapan bersetuju memutuskan akan mengemukakan usul tidak percaya melalui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
"Pelancaran Pakatan Harapan di peringkat tertinggi dan juga kita akan adakan satu usul undi tidak percaya pada Perdana Menteri yang akan dibawa oleh saya sendiri selaku Ketua Pembangkang," kata Wan Azizah.
Usul berkenaan mestilah dibuat dalam tempoh 14 hari berdasarkan kepada Peraturan 26, Mesyuarat Dewan Rakyat.
Dalam sidang media bersama parti pembangkang baru itu, Wan Azizah berkata, wakil rakyat PKR bagi Petaling Jaya Utara, Hee Loy Sian akan menarik kembali usulnya yang telah diterima baru-baru ini.
Hadir sama dalam mesyuarat itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Pengerusi Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan