KUALA LUMPUR,  Pemimpin-pemimpin DAP hari ini bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli bahawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, tidak akan berjaya.


Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok berkata, ada sebab-sebab kenapa mereka percaya undi itu tidak akan berhasil.

“Bagaimana nak buat undi tidak percaya terhadap PM, jika Ahli Parlimen BN tidak menyokongnya, apabila mereka adalah majoriti?” soalnya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Beliau berkata, pihak pembangkang juga tidak pasti dengan pendirian PAS.

“Kami tidak pasti dengan sokongan PAS terhadap undi tidak percaya itu juga.

“Hadi Awang pernah berkata, kita patut membiarkan Najib terus berkhidmat sehingga akhirnya, kerana beliau dipilih oleh rakyat,” katanya.

Kok berkata, mereka tiada rancangan lain, tetapi parti pembangkang akan berjuang sehingga Pilihan Raya Umum akan datang, untuk mendapatkan Perdana Menteri baru.

“Pembangkang menaruh harapan terhadap undi tidak percaya dan kami cuba memujuk Ahli-ahli Parlimen BN untuk menyokong usul itu, tetapi mereka enggan berbuat demikian,” katanya.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming berkata, parti pembangkang akan memberi ruang kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk membuat keputusan berhubung isu itu.

“Saya rasa Kak Wan yang akan membuat keputusan dalam isu ini.

“Rafizi betul dalam menyatakan Speaker mungkin tidak akan membenarkan undi itu berlaku.

“DAP akan menyokong Ketua Pembangkang dalam isu ini,” katanya.