Rabu, 9 September 2015

Saya disiasat kerana laungan ‘Tangkap Najib dan Rosmah’, kata Rafizi

THE MALAYSIAN INSIDER



Rafizi Ramli bersama penyokong Bersih 4 lain di luar pusat membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur, pada Ogos 29. Beliau disiasat polis kerana melaungkan 'Tangkap Najib' dan 'Tangkap Rosmah'. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 September, 2015.Rafizi Ramli bersama penyokong Bersih 4 lain di luar pusat membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur, pada Ogos 29. Beliau disiasat polis kerana melaungkan 'Tangkap Najib' dan 'Tangkap Rosmah'. – Gambar fail The Malaysian Insider,
 
 
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini menyatakan kekesalan kerana pihak polis hanya berminat menyiasat laungan "Tangkap Najib, Tangkap Rosmah" dalam ucapannya pada perhimpunan Bersih 4 hujung Ogos lalu.

Beliau yang baru selesai memberikan kenyataan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berkata, polis tidak langsung bertanyakan mengenai isi kandungan ucapan berkenaan.

"Saya berasa lucu kerana soalan-soalan yang ditanya berhubung siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan adalah bersabit laungan 'Tangkap Najib, Tangkap Rosmah'.

"Saya ditanya sama ada saya ada memimpin laungan itu dan berapa kali saya melaungkan 'Tangkap Najib, Tangkap Rosmah'. "Saya tidak ditanya langsung mengenai kandungan lain ucapan saya kecuali laungan 'Tangkap Najib, Tangkap Rosmah'," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pandan itu berkata, tindakan tersebut merupakan pembaziran ketara dilakukan polis.

"Polis diarahkan menyiasat perkara-perkara yang kini menjadi sentimen rakyat seperti laungan 'Tangkap Najib, Tangkap Rosmah'.

"Jika saya disiasat kerana laungan itu, maknanya pihak polis terpaksa menyiasat berjuta-juta rakyat Malaysia yang memberikan komen lebih kasar daripada itu," katanya.

Rafizi menyeru kepimpinan polis berhenti mengarahkan pegawai bawahan mereka berbuat demikian dan sebaliknya diberikan ruang memerangi jenayah.

"Bukannya menyiasat kata-kata orang ramai yang menyinggung perdana menteri dan isteri beliau," katanya.

Rafizi berkata, keterangan beliau diambil hari ini dalam 2 kertas siasatan; pertama mengikut Kanun Keseksaan berkenaan ucapan yang dibuat semasa Bersih 4, kedua mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memakai baju kuning Bersih 4 yang diharamkan.

Pada perhimpunan 34 jam yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lepas, dianggarkan lebih 200,000 memenuhi jalanan di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, memperjuangkan beberapa tuntutan termasuk pembaharuan institusi, kebebasan menyuarakan bantahan dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 
 
 

Tiada ulasan: